fbpx

Masih Perlukah Berguru di Zaman Moden Ini?

by Ibn Hisham
0 comment 108 views

Ilmu yang mulia adalah ilmu yang diturunkan dari langit ke bumi yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Ilmu ini berupa al-Quran dan hadis Nabi. Ia diikuti dengan ilmuilmu pengetahuan yang lain. Ketahuilah! Sesungguhnya agama Islam ditegakkan berdasarkan ilmu dan pengetahuan. Oleh kerana itu, tidak semestinya seorang muslim itu jauh daripada cahaya ilmu, bahkan mesti mengambilnya daripada warisan nabi. Dan kita memahami bahawa ulama itu adalah pewaris para nabi, dan wakil para rasul.

Allah Taala berfirman, “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Al-Alaq: 1-5)

Kenapakah menuntut ilmu perlu berguru? Tidak bolehkah hanya dengan membaca buku atau kitab?

Inilah hikmah Nabi menerima ilmu wahyu daripada Jibril a.s. Ia menunjukkan bahawa ketika wahyu diturunkan buat pertama kali kepada Nabi, jelaslah kepada kita bahawa malaikat Jibril a.s merupakan guru yang pertama bagi Rasulullah. Dengan ini jelas dan dapat difahami bahawa setiap sesuatu ilmu itu mestilah ada guru yang benar-benar alim, faqih, serta mantap dalam segala displin ilmu pengetahuan.

Malaikat Jibril as. memeluk Nabi dengan kuat. Ini bertujuan memberikan wahyu dan ilmu yang disampaikan dengan bersungguh-sungguh dan kepayahan. Kelebihan ilmu dan faedah pengetahuan menjelma dalam wahyu yang pertama. Dengan kata Iqra, maka kita mendapat ilmu hidayah dan cahaya.Ia merupakan kalimah yang pertama kali diturunkan kebumi yang menganjurkan untuk kita mencari ilmu dan mengajak untuk mencapai ilmu pengetahuan.

Dalam ilmu pengetahuan terdapat kebaikan hidayah dan juga cahaya. Sesiapa yang tidak dapat membaca maka ia telah terhalang daripada kebaikan yang sangat banyak. Risalah dan dakwah Nabi dimulakan dengan ilmu dan pengetahuan serta peradaban. Sesiapa yang menyangka bahawa dirinya akan mendapat petunjuk dan mendapat kedudukan yang tinggi tanpa ilmu, maka dia tidak akan faham, dia telah silap dan menyimpang daripada jalan yang lurus.

Allah berfirman, “Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (At-Taubah: 122)

Ayat ini menggabungkan dorongan untuk belajar dan mengajar dengan perintah untuk menuntut ilmu dengan seorang guru yang benar-benar alim, faqih serta mantap dalam segala ilmu pengetahuan. Allah juga berfirman dalam erti kata untuk mendorong manusia untuk bertanya dalam urusan agama yang dirasakan sulit untuk difahami, kepada ulama yang mengamalkan ilmunya. Firman-Nya, “Maka bertanyalah kalian kepada orang-orang yang berilmu jika kalian tidak mengetahui.” (Al-Anbiya’:7)

Apakah kunci untuk mendapatkan ilmu?

Imam Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad r.a. pernah mengatakan,

“Bertanya itu adalah kunci yang dapat menyampaikan seseorang kepada makna-makna ilmu dan rahsia-rahsia ghaib yang ada di dalam dada dan hati. Sepertimana seseorang tidak akan dapat menjumpai barang-barang dan harta benda yang berharga di dalam rumah, kecuali dengan menggunakan kunci yang diperbuat daripada besi dan kayu. Demikianlah pula seseorang tidak akan dapat sampai kepada ilmu dan pengetahuan yang ada pada ulama, tetapi dengan pertanyaan-pertanyaan yang ditujukan untuk mengambil manfaat yang disertai dengan kesungguhan, keinginan, dan adab yang baik.” (Manhaj as Sawi, Syarh Usul at-Toriq as Saadah al Ba’lawi).

Muhammad bin Sirin dan Malik bin Anas mengatakan,

“Ilmu adalah agama maka lihatlah dengan siapa kamu sekalian menimba agamamu.”

Bagaimana mengenali guru yang alim?

Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi pula berkata,

“Tanda seorang guru alim yang dapat dipercayai, yakni orang yang engkau ingin mengambil ilmu agama daripadanya adalah takut kepada Tuhannya dan tanda takut itu boleh dilihat pada perbuatannya. Jika engkau tidak mendapatinya sedemikian, maka tinggalkan dan jangan mengikutinya. Tetapi janganlah berburuk sangka kerana engkau tidak melihat rasa takut pada dirinya, yang merupakan syarat ilmu berdasarkan firman Allah, “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah ulama”. (Fathir: 28)

Inilah di antara peneranganpenerangan kenapa menuntut ilmu perlu berguru supaya setiap manusia tidak tergelincir dalam menyampaikan ilmu pengetahuan lebih-lebih lagi ilmu agama.

Maka seharusnya penuntut ilmu mencari guru yang benar-benar dapat menunjukkan mereka jalan mengenal Allah seperti sahabatsahabat Nabi  yang mengenal Allah melalui Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah menerangi kita semua dengan ilmu-Nya Yang Maha Luas.

Sumber: Majalah Q&A, penulis Ustaz Ahmad Lutfi Abdul Wahab Al-Linggi

Related Posts

Leave a Comment