fbpx

Ajaibnya Para Hartawan Zaman Nabi

by noraina
0 comment 62 views

Mereka adalah golongan terbaik untuk dicontohi dalam memahami konsep pemilikan harta kerana dunia sentiasa mengejar mereka tetapi mereka tidak pernah dilalaikan dengannya.

Harta itu sifatnya relatif. Segala pujian dan kejian bukan untuk harta tapi bergantung kepada pemiliknya. Allah SWT mengiktirafnya sesuatu yang mulia iaitu sebagai sumber kekuatan manusia. Dalam memahami konsep memiliki harta, para Sahabat adalah golongan terbaik untuk dicontohi.

Kekayaan dan harta bukan musuh di mata Nabi SAW dan para Sahabat. Namun, sesetengah orang yang agak pesimis, berhujah dengan doa Nabi yang berbunyi, “Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, dan matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) di dalam rombongan orang-orang miskin.” (Riwayat Ibnu Majah)

Q Apakah pengertian sebenar di sebalik doa tersebut?

A Menurut Ibnu Mandzur, miskin dari segi bahasa merujuk pada al-khaadi’ iaitu orang yang tunduk, manakala faqir bermaksud orang yang memerlukan. (Qamus Lisan al-Arab)

Imam Baihaqi mengatakan, “Menurutku Nabi SAW tidaklah meminta keadaan miskin yang maknanya kekurangan tetapi Baginda meminta miskin yang maknanya tunduk dan merendahkan diri (khusyu’ dan tawadhu’).” (As-Sunan al-Kubra)

Imam Ibn al-Atsir, Imam al-Ghazali dan Imam Qutaibi juga menyatakan pendapat yang sama.

Sekiranya yang dimaksudkan Nabi SAW adalah kemiskinan yang hakiki, pasti ia bertentangan dengan doa yang selalu dilazimi Nabi SAW iaitu, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada kefakiran … .” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, an-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Baihaqi)

Q Siapakah contoh Sahabat yang banyak memiliki harta?

A Abu Bakar as-Siddiq, Usman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Abu Thalhah dan Siti Khadijah adalah sebahagiannya. Dr Raf’at Basya dalam bukunya menyebut, sebelum meninggal dunia Abdul Rahman bin Auf mewariskan harta yang banyak iaitu 1,000 ekor unta, 100 ekor kuda, 3,000 ekor kambing. Isterinya empat dan setiap seorang daripada isterinya mendapat harta bernilai 80,000 dinar (Ibnul Jawzi menaqalkan dalam kitabnya 40,000 dinar).

Q Bagaimana Sahabat menggunakan harta mereka?

A Para Sahabat menggunakannya untuk keperluan berikut:

1. Medan jihad

Sahabat-sahabat yang berharta banyak mendukung dakwah Nabi SAW. Isteri Baginda, Khadijah binti Khuwailid menggunakan keseluruhan harta dan masanya untuk Islam. Saat-saat akhir hidupnya, Khadijah berkata, “Wahai Rasul utusan Allah, tiada lagi harta dan hal lainnya yang bersamaku untuk aku sumbangkan demi dakwah. Andai selepas kematianku, tulang-tulangku mampu ditukar dengan dinar dan dirham, maka gunakanlah tulang-tulangku demi kepentingan dakwah yang panjang ini.”

Begitu juga dengan Sahabat yang lain. Semuanya berlumba-lumba menyumbangkan harta untuk Islam. Sayidina Umar menceritakan bahawa Rasulullah SAW menyuruh mereka bersedekah (ketika Perang Tabuk) dan beliau menyahut seruan itu. Sayidina Umar berkata, “Hari ini aku ingin mengatasi Abu Bakar kerana dia selalu menandingiku sebelum ini.” Lalu beliau membawa separuh hartanya. Nabi bertanya apa yang tinggal untuk keluarganya, lalu beliau menjawab, sebanyak itulah juga. Kemudian datang Sayidina Abu Bakar membawa semua hartanya. Tatkala ditanya Nabi, dijawabnya, “Yang tinggal adalah Allah dan Rasulnya.” Lalu Sayidina Umar berkata, “Selamanya aku takkan dapat mendahuluimu.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Manakala Sayidina Usman bin Affan pula menanggung sepertiga pembiayaan dan dana perang seperti perbelanjaan 10,000 tentera, 1,000 ekor unta, 50 ekor kuda, dan 1,000 Dinar dalam peperangan tersebut. Rasulullah SAW bersabda, “Sesudah ini, apa yang dilakukan oleh Usman tidak lagi mendatangkan mudarat ke atas dirinya.”

2. Membantu umat Islam

Pernah satu ketika, Madinah dilanda kemarau teruk. Kafilah dagang kepunyaan Sayidina Abdul Rahman bin Auf tiba di Madinah dengan 700 ekor unta penuh dengan barang-barang keperluan. Aisyah melihatnya lalu berkata, “Semoga Allah memberkati apa yang diperolehinya di dunia; adapun pahala di akhirat itu lebih besar.” Mendengar sahaja ucapan itu, Abdul Rahman terus menginfakkan semua barang dagangan tersebut.

3. Membebaskan hamba

Sayidina Abu Bakar as-Siddiq antara Sahabat yang banyak membebaskan hamba pada awal kebangkitan Islam. Qais menceritakan, Abu Bakar membeli Bilal bin Rabah dengan harga lima auns emas. Tuannya Umayyah bin Khalaf berkata, “Kalau kamu membayar satu auns pun aku akan menerimanya.” Lalu Abu Bakar menjawab, “Kalau kamu meminta 100 auns emas pun aku akan membayarnya.”

Jaafar bin Burqan berkata, “Aku dengar Abdul Rahman bin Auf itu telah membebaskan lebih 30000 keluarga.”

4. Mewakafkan harta

Abu Talhah misalnya telah melakukan wakaf yang pertama dalam Islam. Beliau mewakafkan Taman Bayruha yang paling disayanginya, yang terletak berhadapan Masjid Nabi dan pernah pula didatangi Rasulullah SAW. (Sahih Bukhari)

Sayidina Usman bin Affan mewakafkan untuk umat Islam sebuah perigi bernama Bir Ruumah yang sangat jernih dan bagus airnya. Perigi itu dibelinya daripada seorang Yahudi ketika umat Islam sukar mendapatkan air dan derita dengan musim kemarau yang amat sangat.

Q Apa kesimpulan yang kita dapat daripada kekayaan Sahabat?

A Walaupun sebahagian Sahabat adalah usahawan dan hartawan ternama, mereka tidak pernah dilalaikan oleh harta. Mereka di antara orang yang paling dekat dengan Nabi SAW. Bahkan, merekalah yang sering berada di barisan hadapan dalam setiap peperangan. Dunia dan kekayaan sentiasa mengejar mereka dan mereka tidak pernah menolak. Para Sahabat sentiasa melazimi resmi padi. Semakin berisi, semakin besar takwa dan tawaduk di dalam hati.

Said bin Husin berkata, “Abdul Rahman itu walaupun kaya, orang tidak dapat membezakan antara dia dan hamba-hambanya. Begitulah tawaduknya para Sahabat dengan harta mereka.” (Lihat Sifatus-Sofwah karangan Ibnul Jauzi)

Kalaulah kekayaan itu sesuatu yang hina, Nabi takkan mendoakan Abdul Rahman bin Auf dan Anas bin Malik dengan harta, takkan beristerikan Siti Khatijah, takkan bermenantukan Usman bin Affan dan takkan bertemankan Abu Bakar as-Siddiq.

Sebenarnya, apa yang Nabi bimbangkan, umatnya akan terlebih mencintai harta dan dunia melebihi cinta kepada Allah dan Rasul-Nya. Wallahu a’lam.

Sumber: Majalah Q&A / Ustaz Abdul Wahab Md Ali

Related Posts

Leave a Comment