fbpx

SOP Berziarah

by noraina
0 comment 36 views

Apabila kebaikan itu bertukar menjadi keburukan.

Amalan berziarah sangat digalakkan kerana di dalamnya tersimpan begitu banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna. Amalan ini hendaklah dilaksanakan dengan mengikut tertib yang telah disyariatkan terutama sekali dalam menghubung dan mengeratkan silaturahim sesama Islam. 

Daripada Muaz r.a. daripada Rasulullah SAW yang bermaksud; Allah berfirman (hadis qudsi): “Wajib mendapat kasih sayang-Ku bagi orang-orang yang berkasih sayang kerana-Ku, orang-orang yang duduk bersama-sama kerana-Ku, saling hadiah menghadiah kerana-Ku dan orang-orang yang saling menziarahi kerana-Ku.”. (Riwayat Ahmad, Tabrani, Hakim dan Baihaqi).

Q Dalam kita berziarah untuk merapatkan silaturahim, apa yang perlu dijaga akan soal masa (timing) berziarah?

A Kita sangat digalakkan supaya senantiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturahim dan ukhuwah sesama manusia, lebih-lebih lagi kepada tetangga dan sanak saudara.  Walaupun begitu, sangat perlu bagi kita memberikan perhatian soal masa dan waktu yang sesuai untuk kita hadir berziarah atau bertandang ke rumah jiran atau kenalan. Jika tidak kena masanya, mungkin tuan rumah kurang senang dengan kedatangan kita walaupun niat berziarah itu baik. Di sini ada beberapa perkara yang perlu kita ambil kira sebelum bertandang iaitu:

  1. Sebelum datang bertandang  atau berziarah ke rumah jiran atau saudara mara ialah memilih waktu dan suasana yang sesuai. Jika kita tersilap memilih waktu,  kemungkinan besar ianya akan mendatangkan masalah kepada saudara atau sahabat kita itu, kerana kalau tak kena gayanya, tidak mengikut adab dan tertib yang disunahkan, walaupun niat pada asalnya baik, tetapi apabila caranya tidak kena, tidak dijaga tertib dan susilanya, maka kebaikan itu akan bertukar menjadi keburukan.
  1. Memilih waktu dan suasana yang sesuai untuk berkunjung ialah mencari waktu yang dirasakan sebagai tidak menyusahkan tuan rumah. Masa yang tidak menganggu waktu peribadinya seperti ibadahnya, waktu rehat, waktu makan minum dan sebagainya. Seboleh-bolehnya elakkan berkunjung ketika hampir masuk waktu solat ataupun hampir masuk waktu maghrib. Pada waktu itu merupakan waktu yang kebanyakan orang sedang sibuk. Ketika itulah mereka sibuk untuk membuat persiapan mengerjakan solat Maghrib, membersihkan diri (mandi), menyediakan makan malam dan sebagainya. Elakkan juga datang bertandang selepas waktu zuhur ataupun selepas waktu isyak. Ini kerana waktu-waktu ini dipanggil sebagai ‘waktu aurat’ yakni pada masa ini kebanyakan orang sedang berehat dan selalunya tidak mahu diganggu. 

Bagaimanapun dengan adanya alat perhubungan yang canggih dan serba moden sekarang ini, kita boleh memaklumkan terlebih dahulu hasrat kita untuk datang berziarah. Sebaiknya, beritahulah tentang hasrat kedatangan kita, tarikh dan masa agar dengan itu tuan rumah akan lebih bersedia. Itu akan lebih memudahkan kedua-dua pihak. Sudah pasti dengan menjaga adab dan tertib ini, Allah akan merahmati kunjungan kita.

Q Berapa lama masa yang sesuai untuk kita berada di rumah orang yang kita ziarah? Sekejap sangat bimbang tuan rumah akan berkecil hati, lama sangat dibimbangi akan menyusahkan tuan rumah.

A Awal-awal lagi kita harus tentukan lama mana masa kita untuk bertamu. Keadaan ini selalunya bergantung kepada niat dan hajat kita datang. Maklumkan kepada tuan rumah agar mereka dapat bersedia. Adab ini sebagai alat dalam mengefisienkan waktu bertamu. Tidak mungkin seluruh waktu mereka habiskan untuk melayan tetamu. Setiap aktiviti selalu dibatasi oleh aktiviti lainnya, baik bagi yang bertamu mahupun yang diziarahi (tuan rumah). Apabila memang hajatnya telah dipenuhi, maka hendaklah kita segera pulang agar waktu tidak terbuang dengan sia-sia dan tidak memberatkan tuan rumah untuk memberi layanan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Apabila salah seorang diantara kamu telah selesai dari maksud bepergiannya (bertamu), maka hendaklah dia segera kembali menuju keluarganya.”(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sumber: Majalah Q&A / Mohamad Johar bin Bukari (Perunding Motivasi)

Related Posts

Leave a Comment