fbpx

Amalkan 5 Perkara Ini untuk Raih Redha Allah di awal Pagi

by Ibn Hisham
0 comment 61 views

Islam sangat menitikberatkan perkara berkaitan adab dan tatacara pergaulan sesama manusia. Ia merangkumi adab dalam segenap aspek kehidupan, bermula daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Bermula daripada adab bangun tidur sehinggalah adab dalam pembinaan negara; semuanya diterangkan oleh baginda  kepada umatnya.

Sebahagian musyrikin dan golongan Yahudi pernah bertanya kepada Sayidina Salman al-Farisi r.a berkenaan baginda  mengajarkan kepada para Sahabat sehinggakan cara duduk di dalam tandas pun diajarkan olehnya. Tujuan pertanyaan itu adalah untuk menghina baginda, seolah-olah sudah tiada perkara lain yang ingin diajarkan.

Maka Sayidina Salman al-Farisi r.a. menjawab: “Ya benar, baginda  mengajar kepada kami perkara itu dengan memberikan panduan kepada kami agar tidak menghadap ke arah kiblat semasa membuang air besar atau kecil. Baginda juga melarang kami beristinjak menggunakan tangan kanan.”

Saya akan cuba menerangkan kepada para pembaca sekalian berkenaan adab-adab tersebut secara ringkas dan padat agar mudah untuk kita amalkan bersama.

Apakah adab-adab bangun daripada tidur yang diajar oleh Rasulullah?

Ada beberapa perkara yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang yang menginginkan keredhaan Allah  sepanjang harinya setelah bangun daripada tidur:

  1. Hendaklah kita berusaha bangun daripada tidur sebelum terbit fajar. Contohnya, jika masuknya waktu solat Subuh pada pukul 6.00 pagi, maka sepatutnya seseorang itu berusaha untuk bangun 30 minit lebih awal. Hal Ini kerana baginda mendoakan keberkataan kepada umatnya yang bangun pada awal paginya. Sabda baginda: “Diberkati bagi umatku pada waktu seawal pagi.”
  2. Kemudian sapulah wajah dengan tangan daripada kesan mengantuk setelah bangun daripada tidur.
  3. Seterusnya, gosoklah gigi dengan menggunakan kayu siwak atau berus gigi.
  4. Kemudian bacalah doa ini: “Segala puji bagi Allah  yang telah membangunkan kami setelah kami ditidurkan dan kepadaNyalah kami akan dihimpunkan. Segala puji bagi Allah  yang telah mengembalikan rohku kepadaku, dan memberikan kesejahteraan kepada jasadku, dan memberikan keizinan kepadaku untuk mengingati-Nya. Segala puji bagi Allah  yang telah membangunkan aku dalam keadaan sejahtera. Aku bersaksi bahawa sesungguhnya Allahlah yang menghidupkan yang mati dan Dia berkuasa ke atas segala perkara. Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia. Tiada sekutu bagiNya. Bagi-Nya segala kekuasaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia berkuasa ke atas segala perkara.”
  5. Akhir sekali, bukalah jendela dan pandanglah ke langit, pujilah kebesaran Allah  sambil membacakan ayat 190 hingga ayat 200 dari surah Ali Imran.

Sumber: Majalah Q&A, penulis: Ustaz Nazrul Nasir, Penulis & Pendakwah, Universiti Al-Azhar, Mesir

Related Posts

Leave a Comment