fbpx

Apa Ada Pada Adab?

by noraina
0 comment 125 views

Jangan memandang remeh isu adab ketika menuntut ilmu kerana ia berkait rapat dengan keberkatan dalam membentuk setiap peribadi seseorang menjadi insan soleh.

Ilmu dan adab adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Ikatan antara keduanya tidak patut diasingkan. Seorang alim itu tidak mungkin biadab dan tidak mungkin seorang yang biadab itu ‘alim’. Begitu juga dengan seorang penuntut di majlis ilmu; dia adalah seorang yang menuntut, memahami dan menghayati adab. Majlis ilmu perlu penuh dengan seni menjaga adab kerana ia bertindak secara langsung sebagai medan menghidup dan mempromosikan adab.

Q Apakah erti adab?

A Adab umumnya merujuk kepada sikap dan tindakan ‘meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya’. Hal ini menuntut seseorang itu tahu akan ‘tempat’ sesuatu. Dia bukan sekadar kenal bahkan secara praktikal meletakkan sesuatu pada tempatnya; ini menepati konsep adil dalam Islam. Huraian terkini yang merencanakan kefahaman tentang adab ini dapat dibaca dari kata-kata Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Risalah Untuk Kaum Muslimin sebagaimana berikut:

Adab mengasuh insan, yang khusus dan yang umum. Ia berfungsi menempatkan kalangan insan tepat pada tempat yang wajar. Justeru itu, adab adalah suatu kenyataan keadilan, ia mempamer serta mencarakan perlakuan suatu keadaan. Dengannya manusia mengenali serta mengakui adanya rencana susunan martabat dan darjat keluhuran diri masing-masing di kalangan insan semesta. Adablah yang menunjukkan adanya sikap yang adil, menerima serta melakukan penempatan martabat dan darjat diri masing-masing pada tempatnya yang wajar. Pengenalan serta pengakuan diri tentang adanya martabat di kalangan makhluk, dan adanya darjat pada tiap pernisbahan yang berlaku dalamnya­­ – itulah adab.

Jelas di sini bahawa adab dan ilmu tidak terpisah, dengan ilmu seseorang dapat mengetahui ‘tempat’ bagi segala sesuatu dan dengan meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya berasaskan ilmu tersebut, seseorang itu akan ‘beradab’ dalam hidup dan tingkahlakunya.

Q Apakah adab-adab dalam memberi dan menuntut ilmu?

A Untuk menyenaraikan adab-adab Muslim amnya dan adab ilmuwan khasnya adalah terlalu banyak. Hidup umat Islam itu sendiri adalah suatu rantaian adab dan kebahagiaan seseorang Muslim itu tertakluk kepada sejauh manakah dia melengkapkan rantaian adab ini. Rasululah SAW sendiri diutuskan untuk menyempurnakan adab dan akhlak yang mulia.

Q Apakah adab seorang yang berilmu?

A Imam al-Ghazali dalam karyanya Bidayat al-Hidayah ada mengemukakan beberapa saranan adab ilmuwan untuk direnungi. Maka adab-adab seorang alim adalah:

  • kuat-teguh menanggung masalah,
  • sentiasa bersifat kasih sayang,
  • meninggalkan sikap takabur terhadap segala hamba (Allah SWT) melainkan terhadap kezaliman demi menghalang mereka daripada berlaku zalim,
  • bersikap tawaduk semasa keramaian dan majlis,
  • lemah lembut dengan pelajar,
  • membina pelajar yang lemah tanpa marah,
  • tidak berbangga diri dengan mengaku ‘saya tak tahu’,
  • beri perhatian kepada yang bertanya dan cuba memahami pertanyaannya,
  • menerima hujah mengutamakan kebenaran dengan merujuk kepadanya ketika tersilap,
  • menegah murid daripada ilmu yang memudaratkannya,
  • menghalangnya daripada mempelajari ilmu yang benar tapi bukan kerana Allah SWT,
  • menghalang murid dari mempelajari fardu kifayah sebelum ia selesai fardu ain, (bahkan) fardu ain baginya (alim) adalah memperelokkan zahir dan batinnya dengan ketakwaan,
  •  mengusahakan untuk dirinya terlebih dahulu dengan ketakwaan agar pertama, menjadi ikutan muridnya dari segi amalan dan kedua, (muridnya) mendapat faedah dari kata-katanya.

Q Apakah adab seorang murid?

A Imam al-Ghazali turut menegaskan dalam karyanya Bidayat al-Hidayah tentang adab seorang murid. Sekiranya kamu adalah murid, maka adab seorang murid bersama seorang alim adalah:

  • mendahulukan dengan ucapan aluan dan salam, mengurangkan cakap di hadapannya,
  • tidak berkata-kata dengan apa yang tidak ditanya oleh gurunya dan tidak bertanya melainkan setelah meminta izin terlebih dahulu,
  • jangan menyanggahinya dengan berkata ‘telah berkata seseorang pandangan yang bercanggah dengan pandangan anda (guru)’,
  • jangan tunjukkan kepada guru pandangan yang berbeza dengannya (seolah) menggambarkan bahawa dia lebih tahu akan kebenaran daripada gurunya,
  • jangan bertanya kawannya dalam majlis gurunya (majlis ilmu),
  • jangan memaling muka ke mana-mana bahkan hendaklah menghadap matanya tetap dan beradab seakan dalam solat,
  • jangan mempersoalkan dengan soalan yang banyak ketika dia jemu, dan
  • jangan bersangka buruk dengannya pada amalan zahirnya yang (mungkin nampak) tidak benar baginya (murid) kerana dia (guru) lebih mengetahui rahsianya dan ingatlah ketika itu (kisah Nabi Musa dan Nabi Khidhir a.s.).

Demikian sebahagian adab ilmuwan yang patut direnung oleh para ilmuwan sama ada pelajar mahupun guru, bahkan para pentadbir dan penggubal polisi. Isu adab ini mungkin dilihat oleh sesetengah golongan sebagai suatu yang tidak penting atau hanya dianggap sebagai elemen sampingan dalam menuntut, mengajar dan membangun ilmu pengetahuan dan institusinya. Sama ada kita sedar ataupun tidak, gejala ini menimpa institusi ilmu sepanjang zaman; gejala kurang adab atau biadab – guru yang tidak beradab dan tidak bina adab. Murid juga biadab dan tidak belajar adab, institusi dan pentadbir yang mengabaikan adab dan tidak mengusahakan ke arah itu. Lalu di manakah datangnya keberkatan bagi ilmu tersebut?

Rujukan:

Abu Hamid al-Ghazali (1988), ‘Bidayat al-Hidayah’, dalam Majmu` Rasa’il al-Imam al-Ghazali. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, jil. 5.

Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001), Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: ISTAC.

Sumber: Majalah Q&A / Prof Madya Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah

Related Posts

Leave a Comment