fbpx

Apakah Amalan Khusus Malam Raya?

by noraina
0 comment 29 views

Disunatkan menghidupkan malam kedua-dua hari raya (Aidilfiri & Aidiladha) dengan beribadah kepada Allah.

Q Dalam pengajian feqah, disebutkan material untuk berzakat ialah bahan makanan, bukan wang mengikut kadar nilai bagi jumlah atau berat timbangan makanan tersebut, seperti yang diamalkan hari ini. Boleh ustaz jelaskan?

A Benar, dalam perbahasan feqah ulama menggariskan bahawa zakat fitrah ini dibayar menggunakan bahan makanan yang dinyatakan dalam hadis iaitu hadis Abu Said al-Khudri: “Kami mengeluarkan zakat fitrah – dan Rasulullah SAW bersama-sama kami pada ketika itu – dengan segantang makanan, atau segantang barli, atau segantang tamar, atau segantang kismis, atau segantang keju.” (Riwayat Muslim)

Justeru, pembayaran zakat fitrah adalah berdasarkan nas hadis di atas. Dalam konteks kita, makanan ruji di negara kita ialah beras. Maka nilaian beras merupakan perantara pembayaran zakat fitrah.

Walaupun begitu, berdasarkan pandangan sesetengah fuqaha, antaranya mazhab Imam Abu Hanifah rahimahullah, mereka membenarkan pembayaran menggunakan wang tunai. Hasilnya, fatwa semasa memutuskan keharusan membayar menggunakan nilaian wang tunai kerana orang-orang miskin mempunyai pelbagai hajat dan keperluan yang dapat dipenuhi dengan wang tunai.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bertarikh 10 Jun 2003 memutuskan:

  1. Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg.
  2. Harga zakat fitrah bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70 kg

Q Adakah sah zakat fitrah yang dibayar sekiranya kita meragui kejujuran pihak berwajib dalam menguruskan wang zakat tersebut?

A Menjadi kewajipan pemerintah untuk memungut zakat daripada masyarakat Islam. Sah pembayaran zakat kepada pemerintah walaupun diketahui pemerintah itu adalah zalim. Walaupun begitu, penentuan kezaliman tidak boleh bergantung kepada sangkaan semata-mata. Bahkan, telah sabit dalam perundangan Islam, wajib taat kepada pemerintah pada perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan Syariat Islam.

Q Adakah terdapat amalan atau zikir yang khusus untuk diamalkan pada malam raya atau pada hari raya?

A Berkata Sheikh Dr. Wahbah Zuhayli bahawa disunatkan menghidupkan malam kedua-dua hari raya (Eid al-Fitri dan Eid al-Adha) dengan beribadah kepada Allah SWT sama ada dalam bentuk zikir, solat, membaca Quran, bertakbir, bertahmid dan beristighfar, khususnya satu pertiga malam yang akhir berdasarkan hadis riwayat Ibn Majah yang bertaraf hasan iaitu: “Sesiapa yang mendirikan dua malam hari raya, dengan khusyuk, tidak akan mati hatinya dihari dimatikan hati-hati manusia.”

Menurut beliau, termasuk dalam ketaatan tersebut ialah mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Umat Islam juga digalakkan berdoa dan mustajab doa pada malam dua hari raya sebagaimana mustajab doa pada malam Jumaat, dan dua malam yang lain iaitu awal Rejab dan Nisfu Syaaban.

Secara khususnya, kebanyakan ulama sepakat bahawa takbir disyariatkan dilakukan secara boleh didengari (jahar) bermula dari awal pagi solat hari raya, sama ada di rumah, masjid, pasar atau di jalanan. Bertakbir pada malam hari raya Aidilfiri lebih dituntut berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud: “… dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Jadi, ayat ini menyebut takbir merupakan amalan yang dituntut setelah tamatnya bulan Ramadan. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kita mendapat Ramadan yang sempurna dan menyambung ketaatan tersebut setelah berakhirnya bulan yang mulia ini.

Q Program TV menyediakan pelbagai rancangan hiburan berkaitan hari raya. Adakah semua itu termasuk dalam syiar hari raya yang diharuskan oleh agama kita?

A Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih; diriwayatkan oleh Anas r.a.: “Telah datang Rasulullah SAW ke Madinah. Penduduknya mempunyai dua hari yang mereka bersuka ria pada kedua-duanya, maka Baginda berkata: ‘Apa dia dua hari ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami bergembira padanya semenjak zaman jahiliah.’ Maka bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah SWT telah menukarkan sesuatu yang lebih baik daripada kedua-dua hari tersebut [yang kamu warisi sejak jahiliah], iaitu hari Eid al-adha dan hari raya fitrah.” (Riwayat Abu Dawud)

Justeru, kita disunatkan bergembira berdasarkan batasan-batasan syarak dengan mengelakkan percampuran lelaki dan perempuan dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang dan melalaikan.

Sumber: Majalah Q&A / Prof. Madya Dr. Asmadi Mohamed Naim

Related Posts

Leave a Comment