fbpx

Apakah Anugerah Allah Kepada Hamba-Nya?

by noraina
0 comment 60 views

Seluruh malam dan siang itu sebenarnya adalah waktu yang ditunggu oleh Allah SWT sekiranya terdapat di kalangan manusia memohon keampunan daripada-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim, ayat 8: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang tulus ikhlas, bersih dan murni, moga Tuhan kamu menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga … .”

Firman Allah SWT mengisahkan peristiwa penerimaan taubat Nabi Adam a.s. yang memakan buah terlarang kerana terpengaruh godaan dan pujukan syaitan: “Kemudian Adam menerima beberapa kalimat daripada Tuhannya, lalu Allah menerima taubatnya, sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.”

Beberapa kalimah yang diterima Adam a.s. tanda penyesalan terhadap kesilapan dan kesalahannya merupakan rintihan doa yang dipanjatkan kepada Allah agar mengampunkan dosa dan menutup kesalahan yang dilakukan.

Allah SWT yang menganugerahkan taubat kepada manusia supaya manusia sentiasa merasakan bahawa rahmat dan rahim Allah mengatasi kemurkaan-Nya. Juga agar manusia tidak berputus asa dalam usaha mendapatkan keampunan-Nya. Firman-Nya: “Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah, Dia menerima taubat daripada hamba-hamba-Nya dan Dia mengambil sadaqah dan sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (At-Taubah 9: 104)

Q Apa maksud taubat?

A Taubat maksudnya menyesal dan kembali kepada Allah SWT dengan meninggalkan larangan-Nya dan melakukan titah perintah-Nya. Taubat juga merupakan antara syarat-syarat kemenangan utama sama ada kepada individu, keluarga, masyarakat atau negara. Justeru dalam surah an-Nur ayat 31, Allah SWT menegaskan bahawa taubat akan memberikan kemenangan atau keuntungan kepada individu dan masyarakat. Kemenangan dan keuntungan bukan hanya kerana untungnya perniagaan atau tercapainya hajat keperluan, namun kemenangan juga terhasil apabila seseorang diampuni dosa kesalahannya oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: “Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah wahai orang-orang yang beriman agar kamu beruntung, mendapat kemenangan.” (An-Nur 24: 31)

Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Allah SWT sentiasa membuka, melebarkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang melakukan kejahatan pada siang hari, serta melebarkan tangan-Nya pada siang hari untuk menerima taubat orang yang melakukan kejahatan pada malam hari, sehinggalah keluarnya matahari dari tempat tengelamnya.” (Riwayat Muslim daripada Abu Musa bin Qais al-As’yari)

Seluruh malam dan siang itu sebenarnya adalah waktu-waktu yang ditunggu-tunggu oleh Allah SWT sekiranya terdapat di kalangan manusia memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat menerima taubat, juga tiada siapa yang dapat mengampunkan dosa kesalahan melainkan Allah SWT.

Q Apakah asas dosa?

A Kisah yang berlaku antara Adam a.s. yang melakukan kesalahan dengan memakan buah terlarang (melakukan larangan Allah), dengan Iblis yang tidak patuh kepada arahan Allah SWT apabila diperintah sujud kepada Adam a.s. (tidak mematuhi perintah Allah SWT) merupakan kisah yang sentiasa hidup dan berlaku dalam kehidupan manusia. Ia berlaku dalam situasi yang berbeza dan berbagai-bagai versi namun asas kepada dosa tersebut ialah melakukan larangan-Nya dan tidak melaksanakan perintah-Nya.

Rumusannya, kesalahan atau dosa akan direkodkan oleh Raqib dan Atid sebagai satu kesalahan apabila manusia tidak mengendahkan atau melakukan larangan-Nya dan angkuh serta sombong untuk melaksanakan suruhan perintah-Nya.

Peristiwa tersebut juga menyimpulkan dua perkara asas dalam setiap tingkah laku dan perbuatan manusia.

Pertama: Ada kesalahan atau dosa yang diampuni namun dalam masa yang sama terdapat juga dosa yang tidak terampun. Ia bergantung kepada individu yang melakukan dosa itu sendiri. Kesilapan atau kesalahan dan dosa yang dilakukan kerana alpa atau terdorong kerana keinginan nafsu yang menghasut atau terpedaya pujukan Iblis, kemudian lahirnya penyesalan dan tiada ketenteraman dalam jiwa serta memohon keampunan Allah, maka sesungguhnya Allah amat gembira dan sentiasa mendepakan tangan-Nya untuk individu-individu yang bertaubat – kembali kepada-Nya. Itulah yang berlaku kepada Nabi Adam a.s.

Kedua: Bagi dosa yang dilakukan atas dasar keangkuhan atau kesombongan dan berbangga dengan kesalahan tersebut, tiada sekelumit perasaan menyesal dalam jiwa, malah memberi pelbagai alasan, ia merupakan dosa, kesilapan dan kesalahan yang tidak terampun. Itulah yang berlaku kepada syaitan. Penyesalan itu sebenarnya langkah pertama menuju keampunan dan keredhaan Allah SWT.

Allah SWT amat suka menerima taubat hamba-Nya, sehinggakan Rasulullah SAW memberi perumpamaan seperti seorang pengembara yang kehilangan untanya yang membawa segala bekalan pengembaraannya. Dicarinya unta itu ke seluruh pelusuk gurun namun tidak ditemuinya, sehinggakan dia tertidur kerana keletihan. Apabila terjaga maka dia mendapati untanya dengan segala bekalannya berada di hadapannya. Kerana terlalu gembira, si pengembara itu tersilap mengucapkan, “Wahai Tuhanku, engkau hambaku dan aku tuhan-Mu.” Kegembiraan Allah SWT menerima taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan pengembara tersebut. (Terjemahan dan suntingan daripada hadis riwayat Muslim, sebagaimana dilaporkan oleh Anas bin Malik r.a).

Q Apakah syarat taubat?

A Menurut Imam an-Nawawi, majoriti ulama berpendapat bahawa taubat itu wajib untuk mendapat pengampunan daripada segala dosa. Sekiranya dosa itu adalah antara seorang hamba dengan Allah SWT maka terdapat tiga syarat yang perlu dilakukan sehingga taubatnya diterima:

  1. Hendaklah ia meninggalkan maksiat yang dilakukannya. Segala perintah Allah yang ditinggalkan perlu dilaksanakan dan setiap larangan-Nya perlu dihindari.
  2. Menyesal terhadap perbuatan dosa atau kesalahan yang dilakukan.
  3. Perlu berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Sekiranya dosa kesalahan itu adalah antara sesama manusia, maka ditambah satu lagi syaratnya iaitu si pelaku kesalahan itu perlu memohon kemaafan terhadap kesilapan yang dilakukannya. Sekiranya terdapat kezaliman maka kembalikan kezaliman tersebut. Sekiranya diungkit atau disakiti maka mohonlah kemaafan daripada individu tersebut.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya sebagaimana direkodkan oleh Umar al-Khattab; “Sesungguhnya Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung menerima taubat seorang hamba selama mana masih lagi belum sampai nyawanya di halkumnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

Sumber: Majalah Q&A / Dr. Nik Yusri Musa

Related Posts

Leave a Comment