fbpx

Apakah Pengaduan al-Quran Kepada ALLAH?

by noraina
0 comment 24 views

Penyebab seseorang itu jauh daripada al-Quran ialah kelalaian, mengikut hawa nafsu dan takbur.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) daripada Allah dan sebuah Kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka daripada gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Al-Maidah 5: 15-16)

Al-Quran merupakan satu kitab yang diturunkan oleh Allah SWT untuk menjadi panduan kepada manusia sepanjang zaman. Ia menjadi mukjizat teragung Rasulullah SAW dan terus menjadi mukjizat terhebat sepanjang sejarah kehidupan manusia sehinggalah berlaku kiamat. Al-Quran merupakan mukjizat yang sangat berbeza daripada mukjizat nabi-nabi terdahulu yang terhad pada zamannya sahaja. Contohnya tongkat Nabi Musa a.s. menjadi ular atau Nabi Isa a.s. menghidupkan orang yang mati dengan izin Allah, dan semua itu dapat disaksikan pada zaman dan umat tertentu sahaja.

Sentuhan al-Quran mampu meruntuhkan segala keegoan dan kesombongan manusia dan jin.

  1. Jin turut beriman

Al-Quran merakamkan pengalaman luar biasa yang dirasai oleh makhluk bangsa jin melalui firman Allah SWT: Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: Sesungguhnya kami telah mendengar al-Quran yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! ‘Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami’.” (Al-Jin 72: 1-2)

  1. Orang Nasrani menangis

Sekelompok penganut Nasrani menitiskan air mata apabila mendengar al-Quran dibacakan. Al-Quran menceritakan kisah ini: “Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) tentang kebenaran (al-Quran), sambil mereka berkata: ‘Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan kitab suci al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW). Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh.” (Al-Maidah 5: 83-84)

  1. Gementar hati orang beriman

Begitu juga sikap orang-orang yang beriman apabila mendengar al-Quran dibacakan maka gementar hati mereka, khusyuk jiwa mereka dan bergenang air mata mereka. Al-Quran menggambarkan keadaan mereka: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (Al-Anfal 8: 2)

Sesungguhnya seseorang Mukmin itu hendaklah sentiasa berinteraksi dengan Al-Quran, hatinya, telinganya dan akalnya sentiasa menadah Al-Quran di samping istiqamah (konsisten) membacanya. Sabda Rasulullah SAW: “Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (Riwayat Muslim)

Sumber: Majalah QA/ Ustaz Ahmad Shukri Yusoff

Related Posts

Leave a Comment