fbpx

Bagaimanakah Matahari Sujud kepada Allah?

by noraina
0 comment 49 views

Semua makhluk Allah  sentiasa taat kepada-Nya, bertasbih memuji-Nya dan sujud kepada-Nya.

Apabila Allah SWT menyebut tentang mengenal-Nya, seringkali DIA menerangkan bahawa semua makhluk kenal pada-Nya. Ada antara mereka yang bertasbih dan memuji-Nya dan ada yang sujud kepada-Nya. Pernyataan ini dapat kita lihat dalam beberapa ayat al-Quran.

Antaranya:

  • “Segala yang ada di langit dan di bumi mengucap tasbih kepada Allah, dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (As-Saff 61: 1)
  • “Bertasbihlah langit yang tujuh dan bumi serta sekalian yang ada di dalamnya; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penyabar, lagi Pengampun.”  (Al-Isra’ 17: 44)
  • “Tidakkah engkau (wahai Muhammad) mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (antaranya) matahari dan bulan dan bintang-bintang dan gunung-ganang dan pokok-pokok kayu dan bintang-bintang dan sebahagian besar daripada manusia?” (Al-Hajj 22: 18)

Ayat-ayat ini menerangkan bahawa semua makhluk Allah bertasbih dan bersujud kepada-Nya. Burung-burung yang berterbangan, bertasbih dan memuji Tuhannya. Namun manusia, walaupun mungkin dapat mendengarnya  tetapi tidak dapat memahaminya. Maka kalau kita bertanya bagaimanakah matahari dan bulan serta gunung-ganang itu bertasbih dan bersujud kepada Allah? Adakah sujud mereka sama dengan sujudnya insan? Tentunya tidak.

Q Bagaimanakah matahari sujud?

A Ada beberapa pendapat ulama; Imam Fakhruddin al-Razi berkata: “Mengikut al-Zajjaj, sebaik-baik erti sujud dalam hal ini ialah taat kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT dalam beberapa ayat, seperti dalam surah al-Anbiya’ ayat 79: ‘… dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu.’

“Dalam surah al-Fussilat ayat 11, Allah SWT berfiman: ‘Kemudian Ia menujukan kehendak-Nya ke arah langit sedang langit itu masih berupa asap, lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: Turutlah kamu berdua akan perintah-Ku, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa.’ Kedua-duanya menjawab: ‘Kami datang dengan sukarela.’

Nyatalah di sini bahawa matahari, bulan, bintang-bintang dan sebagainya taat dan turut semua perintah Allah tanpa bantahan. Itu bererti mereka sujud kepada Allah SWT.”

Imam al-Khazin dalam tafsirnya membawa erti sujud bagi setiap sesuatu yang tidak bernyawa seperti batu-batu dan bukit-bukit ialah taat kepada Allah dengan khusyuk, takut dan sentiasa memuji-Nya. Imam Ibnu Kathir pula berkata bahawa Abul A’liyah berkata: “Tidak ada yang di langit daripada bintang-bintang, matahari dan bulan, kecuali semuanya sujud kepada Allah sebaik sahaja hendak terbenam.”

Q Adakah matahari masuk syurga?

A Tidak ada syurga bagi matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, bukit-bukau dan pokok-pokok. Kelak semua makhluk Allah SWT ini akan dibangkitkan dikembalikan kepada asalnya iaitu dilupuskan oleh Allah SWT. Namun mengikut pendapat sebilangan ahli hadis, terdapat 10 ekor binatang yang akan dihidupkan kembali di akhirat nanti serta dimasukkan ke dalam syurga.

Q Apakah binatang-binatang yang istimewa itu?

A Binatang-binatang tersebut ialah:

  • Buraq Rasulullah SAW.
  • Unta Nabi Saleh a.s.
  • Anak lembu Nabi Ibrahim a.s.
  • Kambing Nabi Ismail a.s.
  • Semut Nabi Sulaiman a.s.
  • Keldai Nabi Uzair a.s.
  • Anjing Ashabul Kahfi.
  • Ikan paus Nabi Yunus a.s.
  • Lembu kaum Bani Israil.

Q Apakah kesimpulan daripada perbincangan ringkas ini?

A  Kesimpulannya, semua makhluk Tuhan (selain manusia dan jin) sentiasa taat kepada-Nya, bertasbih memuji-Nya dan sujud kepadan-Nya. Namun begitu, tidak kita temui ayat-ayat al-Quran yang menerangkan bahawa makhluk-makhluk Allah berkenaan diperintah oleh Allah SWT mendirikan solat. Ini semua rahsia Allah SWT.

Ibadah solat berdasarkan al-Quran dan hadis Nabi SAW, diwajibkan ke atas manusia, jin dan malaikat, walaupun caranya mungkin berlainan antara satu dengan yang lain.

Sumber: Majalah  Q&A / Ustaz Syed Hasan bin Muhammad al-Attas (Seorang pendakwah dan Imam Besar merangkap Pengerusi Masjid Ba’alawi, Singapura)

Related Posts

Leave a Comment