fbpx

BAHAYA HAWA NAFSU

by noraina
0 comment 26 views

Syaitan dan nafsu merupakan rakan kongsi dalam memalingkan umat Islam dari jalan yang menuju kepada Allah SWT.

Q   Apakah hakikat nafsu?

A  Dalam al-Quran, kalimah nafs (nafsu) digunakan dengan berbagai-bagai makna. Di sini kita sebutkan dua makna sahaja, iaitu:

  1. Nafs yang merujuk kepada “nafs haiwaniyyah”. Nafsu ini ada pada binatang dan manusia. Ia mempunyai pelbagai kehendak dan dorongan untuk memenuhi tuntutan dan keperluan hidup.
  2. Nafs yang merujuk kepada “nafs natiqah” atau “nafs jawhariyyah” iaitu akal dan hati. Ia hanya ada pada manusia; tidak ada pada binatang. Disebabkan manusia (dan jin) memiliki nafs natiqah ini, maka manusia tertakluk kepada kewajipan agama atau taklif.

Kehendak dan dorongan nafs haiwaniyyah tiada batasannya. Akal dan hati manusia memainkan peranan menimbang sehalus-halusnya sama ada kehendak dan dorongan nafsu wajar diikuti atau sebaliknya. Dari sini kita dapat melihat bahawa nafs haiwaniyyah berpotensi mendorong kepada perkara-perkara yang negatif. Akal dan hati pula mendorong kepada perkara-perkara yang positif.

Q   Apakah sifat-sifat nafsu?

A   Antara sifat nafsu sama seperti sifat syaitan:

* Sentiasa mahukan larangan Allah SWT dan menolak suruhan-Nya.

* Suka, gembira, manis dan lazat terhadap sebarang larangan Allah.

* Berasa dukacita, berat dan pahit pada suruhan Allah.

Sangat munasabah kedua-duanya menjadi musuh utama manusia. Rasulullah SAW menegaskan dalam sebuah hadis, “Musuh kamu yang paling sengit ialah nafsu kamu yang terletak di antara dua lambung kamu.” Allah SWT menyatakan,  “Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mendorong kepada kejahatan, kecuali bagi orang yang diberi rahmat oleh Allah.” (Yusuf  12: 53)

Nafsu dan syaitan juga bersifat sombong, bangga diri, riak, hasad dengki, tidak berasa puas, suka membuat fitnah, mengumpat, gila keduniaan, panjang angan-angan dan segala macam lagi sifat yang tercela. Syaitan menjadikan nafsu sebagai rakan kongsi untuk membinasakan manusia dengan cara menawan dan mengalahkan akal dan hati. Ibnu Ata’illah mengingatkan kita dengan kata hikmahnya seperti di atas (pembuka makalah ini), supaya kita sentiasa berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada terhadap tipu daya nafsu dan syaitan.

Q   Apakah jenis-jenis nafsu?

A  Nafsu yang bebas daripada kawalan disebut sebagai nafsu amarah. Apabila nafsu dikawal oleh akal dan hati maka kehendaknya yang tidak terbatas sudah berubah mengikut pertimbangan akal dan renungan hati yang sihat. Ketika itu nafsu amarah akan bertukar menjadi nafsu lawwamah. Bagi orang bukan Islam, begitu juga orang Islam yang jahil, tidak beriman dan beramal soleh, nafsu mereka hanya akan berada dalam dua keadaan ini iaitu amarah atau lawwamah.

Bagi orang-orang yang soleh, akal dan hati mereka sentiasa diterangi cahaya hidayah Allah. Nafsu mereka akan menjadi lebih baik. Nafsu mereka akan berada dalam dua keadaan iaitu nafsu mulhamah atau mutmainnah.

Nafsu mutmainnah khusus bagi orang Mukmin yang benar-benar beriman, beramal soleh serta membanyakkan zikrullah sehingga hati mereka menjadi mutmainnah. Di peringkat ini, nafsu mereka juga akan menjadi mutmainnah. Mereka akan menjadi orang Mukmin yang redha dan diredhai oleh Allah; menjadi hamba Allah sebenar serta mendapat kebahagiaan yang sejati dunia dan akhirat.

Q   Adakah orang soleh juga terpedaya dengan nafsu?

A  Ramai orang yang soleh, ahli ibadah, zuhud, pengamal tasawuf dan tarekat menjadi korban nafsu yang tersembunyi (syahwah khafiyyah). Disebut sebagai nafsu yang tersembunyi, kerana dorongan nafsu jahat itu bersembunyi di sebalik kebaikan. Zahirnya kebaikan, batinnya keburukan. Zahirnya keredhaan Allah, batinnya nafsu dan syaitan. Ibnu Ata’illah menegaskan dalam kalam hikmahnya, “Kamu berkehendak melakukan ibadah secara melulu tanpa bekerja mencari rezeki, mencari ilmu tanpa bergaul dengan manusia adalah didorong oleh nafsu yang tersembunyi.”

Daripada nafsu yang tersembunyi timbullah berbagai-bagai kehendak yang muluk-muluk (elok-elok) dan yang ideal. Dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT, ada yang bercita-cita mahu segera menjadi seorang yang benar-benar soleh, hampir kepada Allah, wali Allah dan mendapat pelbagai kurniaan daripada Allah. Misalnya, mahu mendapat kasyaf, ilmu ladunni, hakikat dan makrifah dalam beribadah atau dalam zikir dan sebagainya.

Timbulnya berbagai-bagai ajaran sesat, seperti ajaran Qadiani yang dicetuskan oleh Ahmad Gulam Qadiani, adalah berpunca dari nafsu yang tersembunyi. Syaitan mempengaruhi nafsu ini sehingga mereka yang terpedaya sukar untuk menyedari kesesatan mereka sendiri.

Q   Sesengit manakah peperangan melawan nafsu?

A  Usaha kita menghadapi nafsu adalah peperangan yang terbesar dan berterusan tanpa perdamaian sehinggalah kita mati. Akal dan hati yang diperteguhkan dengan iman dan ketakwaan menjadi lawan nafsu dan syaitan. Peperangan ini berlaku di dalam diri kita walaupun zahirnya kelihatan kita berada dalam keadaan tenang, bekerja, duduk di dalam masjid, beramal ibadah, tidur dan sebagainya.

Apabila nafsu menang dan seterusnya menawan akal dan hati maka binasalah kehidupan kita. Nabi SAW mengingatkan bahawa celakalah orang (Mukmin) yang akalnya ditawan oleh nafsunya. Ibnu Ata’illah menegaskan dalam kalam hikmahnya, “Apabila Allah berkehendak memenangkan seseorang hamba-Nya maka Allah akan membantunya dengan diberi-Nya bantuan tentera yang terdiri daripada berbagai-bagai cahaya hidayah yang langsung masuk ke dalam hati dan Allah juga akan melemahkan nafsu dan syaitan dengan menjauhkan daripada ruang hatinya berbagai-bagai kegelapan dan berbagai-bagai pengaruh makhluk”.

Sumber: Majalah Q&A/ Dr. Haji Jahid Haji Sidek, Mantan Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Tuan Guru Tarekat, Penulis & Pendakwah

Related Posts

Leave a Comment