fbpx

Beramal Perlu Disertai Dengan Mengharap?

by noraina
0 comment 57 views

Bergantunglah dengan rahmat Allah SWT, tidak dengan amalan semata-mata.

HIKMAH PERTAMA

Sebahagian tanda berpegang (manusia) atas amal, ialah kurang harapannya kepada Allah ketika terjadi kesalahan-kesalahan.

Q Apa makna bergantung kepada amal?

A  Bergantung kepada amal ialah kita menjadikan amalan soleh sebagai satu-satunya tiket untuk masuk ke syurga dan jauh dari neraka.

Q Mengapakah bergantung kepada amal itu tidak boleh?

A Bergantung kepada amalan boleh memberi kesan buruk pada amalan dan akidah. Amalannya menjadi kurang baik, kurang ikhlas dan sukar diterima oleh Allah SWT. Malah boleh mencacatkan akidah dan menyebabkan berlakunya syirik khafi. Amalan adalah sebab atau syarat untuk masuk syurga. Amalan ialah makhluk yang tidak boleh dijadikan pergantungan kerana tempat pergantungan hanya kepada Allah SWT.

Q Apakah indikator orang yang bergantung kepada amal?

A Ibn Ataillah menegaskan dalam hikamnya iaitu sebahagian daripada tanda-tanda yang menunjukkan seseorang mukmin bergantung kepada amalan adalah apabila dia melakukan dosa kurang pergantungannya kepada rahmat Allah SWT (cepat berputus asa). Semakin besar dosa yang dilakukan maka semakin besarlah putus asanya. Selain daripada itu, dia akan rajin beramal apabila dijanjikan pahala yang besar seperti menghidupkan malam lailatulqadar. Dia akan malas beramal apabila dia merasakan pahala amalan itu tidak banyak. Mereka mengejar pahala semata-mata seperti pekerja yang apabila ditambah gaji dia menjadi rajin, dan apabila dikurangkan dia menjadi malas.

Q Bagaimana hendak melepaskan diri daripada bergantung kepada amal?

A Golongan yang mengejar pahala ketika beribadat ialah golongan awam iaitu orang yang berhati lalai (ghaflah) walaupun ada ilmu dan kefahaman yang baik. Sebaik-baik kaedah untuk melepaskan diri daripada pergantungan hati kepada amal adalah mencari guru murshid yang boleh memberikan taklim, tarbiah dan tarqiah (peningkatan tauhid secara zauqi). Dengan bimbingan guru tersebut, hatinya bertukar daripada lalai kepada sedar (yaqazah). Maka berpindahlah mereka daripada peringkat awam kepada peringkat khawas dan gerak hatinya juga berubah daripada mengejar pahala kepada mengejar Allah SWT dan keredhaan-Nya.

Q Siapakah orang yang tidak bergantung kepada amalan dan pahala?

A Ada dua golongan iaitu golongan khawas dan khawas al-khawas. Golongan khawas ialah golongan yang hatinya sentiasa mengingati Allah SWT dan beribadat hanya kerana Allah SWT. Golongan khawas al-khawas ialah orang yang semata-mata memandang Allah SWT apabila beribadah dan tidak memandang sesuatu yang lain. Dia merasakan ibadatnya dengan Allah SWT, daripada Allah SWT dan kepada Allah SWT. Berbeza sekiranya dibandingkan dengan golongan khawas yang masih terfikir akan balasan baik tetapi mereka segera tukarkan kepada Allah SWT dan keredhaan-Nya.

Q Apakah dalil yang menunjukkan orang mukmin sepatutnya bergantung kepada rahmat Allah SWT bukan kepada amal?

A Allah SWT berfirman: “Katakanlah: Dengan kurniaan Allah dan Rahmat-Nya, maka yang demikian itulah mereka bergembira, itulah yang lebih baik dari apa yang mereka himpunkan.” (Yunus 100: 58)

Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang daripada kalian tidak akan masuk syurga kerana amalnya, dia akan memasukinya kerana rahmat Allah. Para Sahabat bertanya: ‘Dan termasuk Engkau juga wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Ya, termasuk aku kecuali Allah telah menyelimutiku dengan rahmat-Nya.’ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibn Ata’illah menegaskan bahawa apabila Allah SWT mengurniakan kepada diri kita ketaatan pada zahir dan batin, berasa kaya dengan rahmat Allah SWT serta tidak berasa kaya dengan ketaatan, maka Allah SWT telah menyempurnakan pelbagai nikmat-Nya zahir dan batin kepada kita.

Q Siapakah golongan sesat?

A Golongan agama kebatinan beranggapan mereka berada dalam hakikat semata-mata. Urusan masuk syurga atau neraka adalah urusan Allah SWT secara mutlak. Allah SWT boleh memasukkan orang yang taat ke dalam neraka dan sebaliknya. Oleh sebab itu, mereka tidak melakukan suruhan Allah SWT dan tidak menjauhkan larangan-Nya. Yang penting bagi mereka adalah duduk dalam hakikat yang diibaratkan seperti seorang yang duduk dalam rumah. Orang yang duduk dalam rumah tidak perlu bekerja, tugas mereka hanya makan dan  minum dengan senang-lenang. Hanya orang yang di luar rumah sahaja yang perlu bekerja.

Pandangan ini berlawanan dengan akidah dan syariat. Nabi SAW bersabda: “Aku adalah orang yang paling mengenali Allah di kalangan kamu. Aku paling takut kepada-Nya (paling taat). Aku tidak tahu apakah yang Allah lakukan ke atasku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ini bererti Nabi SAW duduk dalam hakikat sebenar dan masih terus melakukan sebaik-baik dan sebanyak-banyak ibadat. Kita mesti mengikut Rasulullah SAW dan bukan tafsiran yang didorong oleh syaitan. Beramal soleh adalah syarat yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk masuk syurga dan dijauhkan daripada neraka. Amal soleh tidak boleh dipisahkan daripada iman. Tidak wujud iman yang sebenar sekiranya tidak taat kepada Allah SWT.

Q Bagaimaha Ahli Sunnah wal Jamaah mengaitkan amalan dengan bentuk balasan daripada Allah SWT?

A Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah mengaitkan tiga bentuk hubungan iaitu sebab, musabbab dan musabbib al-asbab. Oleh sebab taat kepada Allah SWT adalah sebab untuk masuk syurga dan menjauhkan daripada masuk neraka, maka setiap mukmin perlu mengadakan sebab atau syarat tersebut. Selepas dipenuhi sebab dan syarat, mukmin perlu begantung kepada musabbib al-asbab iaitu kudrat, iradat dan rahmat Allah SWT.

Apabila kita percaya Allah SWT sebagai Tuhan maka wajib kita ingat kepada sifat wujud-Nya, sifat keagungan-Nya dan sifat kesempurnaan-Nya. Hal ini menjadikan hati kita takut kepada keagungan-Nya dan kita perlu memandang sifat kesempurnaan-Nya serta mengharapkan rahmat-Nya. Barulah ada keseimbangan yang sebenar dalam hati.

Dalam menyempurnakan kewajipan rasa takut kepada Allah SWT (khauf) dan rasa mengharapkan rahmat-Nya perlu diseimbangkan seperti dua sayap kiri dan kanan seekor burung. Seekor burung tidak boleh terbang dengan sebelah sayap dan begitu juga seorang mukmin tidak boleh berjalan di atas jalan agama Allah SWT dengan memandang kebesaran-Nya sahaja atau memandang sifat-sifat kesempurnaan-Nya sahaja.

Sumber: Majalah Q&A/ Dr Jahid Sidek

Related Posts

Leave a Comment