fbpx

Cara Solat

by noraina
0 comment 10 views

Kita ikut siapa?

Seseorang yang hidup selepas zaman Sahabat – terutama sekali masyarakat awam zaman moden ini – tidak boleh secara terus mengambil dalil daripada al-Quran dan hadis tentang solat cara Nabi lalu memahaminya mengikut pemahaman sendiri.

“Kenapa solat macam ni? Nabi tak buat!”

“Saya solat ikut mazhab Syafi’i.”

“Mazhab! Mazhab! Mazhab! Kamu nak ikut Nabi atau ikut Imam Syafi’i?”

Ungkapan-ungkapan sebegini sering meniti di bibir masyarakat kita. Kurangnya kefahaman kita tentang persoalan sebegini akan menyebabkan kita keliru dengan ibadat-ibadat yang kita lakukan. Mari kita hadami hadis Nabi SAW yang berbunyi:

 Solatlah kamu seperti mana kamu melihat aku (Rasulullah) bersolat.

(Riwayat Bukhari)

Q Adakah cukup solat mengikut cara Nabi seperti yang disebutkan dalam al-Quran dan hadis sahaja, tanpa perlu merujuk kepada cara yang diajar dalam mazhab?

A Bermazhab adalah hakikat yang diakui di dalam Islam. Para imam mazhab yang bertaraf Mujtahid Muthlaq dengan penguasaan ilmu yang luas dan mendalam serta penuh amanah telah berusaha memahami nas daripada al-Qur’an dan menghalusi setiap hadis yang berkaitan dengan pembacaan dan perlakuan dalam solat. Lalu mereka mengistinbatkan (mengeluarkan) hukum dan cara perlaksanaan solat mengikut ijtihad masing-masing.

Oleh itu, cara solat seperti yang diajar di dalam mazhab adalah mengikut cara solat Nabi. Sedikit perbezaan dalam solat, hanyalah kerana para imam ini berbeza dalam beristinbat dan beristidlal (berdalil) mengikut manhaj (metod) masing-masing.

Al-Allamah al-Faqih, Sayyid Muhammad asy-Syathiri (1422H) menyebutkan, “Imam Abu Hanifah (150H), Imam Malik (179H), Imam Syafi’i (204H), Imam Ahmad bin Hanbal (241H) dan selain mereka, semuanya telah menyelidik semua hadis keseluruhannya (tentang solat), membezakan antara hadis yang kuat dengan yang lebih kuat, antara hadis yang kuat dengan hadis yang lemah, antara hadis Mutawatir dan selainnya. Setiap seorang dari imam-imam mazhab yang empat ini membicarakan (tentang sembahyang Nabi SAW ) dengan apa yang dipegang dan apa yang zahir (jelas) bagi mereka masing-masing. Dari sinilah timbulnya khilaf (perselisihan) dan sebenarnya semua para imam ini bertemu pada satu lingkungan (sumber) sahaja.” (Lihat Syarh al-Yaqut an-Nafis fi Mazhab Ibn Idris, Sayyid Muhammad bin Ahmad bin Umar asy-Syathiri, Beirut: Dar al-Minhaj, Cetakan Kedua, 1427H, ms. 155)

Q  Kenapakah terdapat perbezaan di kalangan para Sahabat dalam meriwayatkan hadis tentang cara solat Nabi SAW?

 Ini kerana cara Nabi solat juga berbeza. Pelbagai riwayat hadis menunjukkan bahawa Nabi SAW solat:

  • Tidak hanya dalam satu keadaan.
  • Tidak hanya dengan satu cara.
  • Tidak hanya di satu tempat.

Selain solat dalam keadaan biasa, Nabi juga solat dalam keadaan musafir dan ketika peperangan. Pada suatu ketika, Nabi memendekkan solat dan pada ketika lain Baginda memanjangkan solatnya. Para Sahabat meriwayatkan mengikut apa yang mereka lihat. Ada juga di kalangan mereka yang tidak melihat apa yang dilihat oleh para Sahabat yang lain.

Q  Bagaimanakah  cara memahami hadis di atas?

A  Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Shahihnya.

Para ulama menyebutkan di dalam kitab-kitab fikah mereka bahawa maksud hadis ini ialah:

(Maksud solat seperti mana kamu melihat aku solat itu ialah) melihat Nabi SAW  solat dengan penglihatan mata bagi para Sahabat dan dengan cara ilmu (mengetahui) bagi sesiapa (yang hidup) selepas kewafatan Nabi SAW , iaitu bermaksud, ‘Solatlah kamu seperti mana kamu mengetahui aku solat seperti yang dijelaskan tentang perkara (solat itu) oleh para ulama’.”

Para ulama di sini adalah para ulama yang dahulu (mutaqaddimin) dan yang terkemudian (muta’akhirin) yang telah menjelaskan cara solat Nabi SAW secara lisan atau menulisnya di dalam kitab-kitab mereka seperti kitab-kitab fikah mazhab Hanafi, Maliki, Syafi’i atau Hambali.

Q Bolehkah kita mengambil terus dalil daripada al-Quran dan hadis tentang solat Nabi?

A Seseorang yang hidup selepas zaman Sahabat – terutama sekali masyarakat awam zaman moden ini – tidak boleh secara terus mengambil dalil daripada al-Quran dan hadis tentang solat cara Nabi, lalu memahaminya mengikut pemahaman sendiri.

Ini kerana:

  1. Mereka tidak melihat bagaimana Nabi solat.
  2. Mereka tidak mampu memahami Bahasa Arab dan kaedahnya.
  3. Mereka tidak menguasai ilmu Ushul al-Fiqh, Qawa’id Fiqhiyyah dan ilmu-ilmu yang berkaitan.

Persoalan fikah hendaklah diserahkan kepada para fuqaha. Para muhaddisin (ahli hadis)terdahulu, antaranya:

Imam Bukhari (256H), Imam Muslim (271H), Imam at-Tirmizi (279H), Imam an-Nasa’i (303H) dan lain-lain menyerahkan persoalan fikah kepada para fuqaha’ walaupun mereka juga berilmu tentangnya.    

Mereka hanya mengemukakan dalil-dalil fikah dalam masa mereka berkecimpung dalam mengumpulkan hadis. Sikap mereka dengan para fuqaha jelas tertera dalam satu ungkapan yang masyhur yang ditujukan kepada para fuqaha iaitu:

Kami yang menyediakan ubat, kamu adalah doktor.

(Lihat Al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islami ad-Daqiq (Salah Faham Terhadap Bid’ah), Dr. Abdul Malik bin Abd ar-Rahman as-Sa’adi, terjemahan Muhammad Fadhli bin Ismail, Kuala Lumpur: Darul Nu’man, Cetakan Pertama, 2002M, ms. 39)

Sumber: Majalah Q&A / Ustaz Muhadir bin Haji Joll

Related Posts

Leave a Comment