fbpx

Di Mana Allah?

by noraina
0 comment 14 views

“Harga seseorang itu ialah ilmunya.” (Sayidina Ali b. Abi Talib)

Q Adakah boleh bertanya ‘di mana Allah’?

A

  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani r.a. berkata, “Tidak boleh mensasarkan perkataan ‘kenapa’ atau ‘bagaimana’ kepada ketentuan Allah SWT sebagaimana tidak boleh mensasarkan perkataan ‘di mana’ dan ‘bagaimana’ untuk membahaskan tentang kewujudan Allah SWT.”
  • Imam Ibn Rusd al-Jadd al-Maliki berkata, “Tidak boleh ditanyakan kepada Allah SWT dengan soalan ‘di mana’, ‘bagaimana’ dan ‘bila’ kerana Allah SWT adalah pencipta masa dan tempat.”
  • Imam Abu al-Abbas Ahmad bin Ibrahim al-Qurthubi berkata, “‘Di mana’ adalah perkataan yang digunakan untuk mengetahui sesuatu tempat sebagaimana juga ‘bila’ditanyakan untuk mengetahui masa. Pertanyaan dengan ‘di mana’ tidak boleh ditujukan kepada Allah SWT secara hakikatnya kerana Allah SWT tidak bertempat sebagaimana Dia tidak diliputi oleh sebarang masa. Bahkan Dialah pencipta masa dan tempat sedangkan Dia wujud sejak azali tanpa bertempat dan tanpa diliputi oleh masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud sejak azali.”
  • Imam Ali r.a. berkata, “Sesungguhnya Allah SWT tidak bertempat. Dia sekarang dalam keadaan seperti mana Dia sebelum ini (iaitu tetap qadim dan abadi tanpa bertempat).”

Sebahagian ulama mengkafirkan mereka yang percaya bahawa Allah SWT bertempat di atas langit sedangkan sebahagian yang lain menganggap mereka sebagai ahli bid’ah walaupun tidak sampai mengkafirkan mereka.

  • Imam Ibn al-Mu’allim berkata, “Orang yang menyembah suatu jisim di atas Arasy yang besar, maka dia telah menyembah selain Allah SWT dan telah kafir. Ada juga golongan yang berkata bahawa Allah SWT bertempat, bersudut, menetapkan kejisiman bagi Allah SWT serta menafikan cantuman dan susunan. Ada juga yang berkata, ‘Saya maksudkan bahawa Tuhan itu berjisim ialah kewujudan-Nya.’ Mereka juga telah kufur.”
  • Imam al-Mulla ‘Ali al-Qari berkata, “Begitu juga dengan orang yang berkata bahawa Allah SWT itu berjisim, bertempat, diliputi oleh peredaran zaman dan sebagainya, maka dia adalah kafir kerana tidak tetap baginya hakikat keimanan.”

Oleh yang demikian, para ulama tetap menegaskan fahaman Tuhan bertempat di atas langit atau di mana-mana sudut adalah suatu kesesatan dalam akidah. Mereka hanya berbeza pendapat sama ada jatuh kufur sehingga keluar daripada agama ataupun tidak.

Sumber: Majalah Q&A / Ustaz Raja Ahmad Mukhlis

Related Posts

Leave a Comment