fbpx

Di mana Kelebihan & Kekuatan ASWJ

by Ibn Hisham
0 comment 100 views

Manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah mempunyai kelebihan-kelebihan dan kekuatan yang menyebabkan ia tersebar luas dan mampu menghadapi pelbagai cabaran pada setiap zaman hingga ke hari ini.

Apakah kelebihan-kelebihan manhaj Ahli Sunnah wal-Jamaah?

Antara kelebihan-kelebihannya adalah:

1. AL-WASATIYYAH: Manhaj al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari merupakan mazhab yang wasaf dan adil antara faham Muktazilah yang keterlaluan menggunakan akal dan manhaj sebahagian Hanabilah yang keterlaluan dalam berpegang dengan zahir nas.

Faham Muktazilah menjadikan akal sebagai neraca dalam menentukan kebenaran nas dan menganggap naql (dalil naqli) sebagai pengikut semata-mata kepada aqla (akal). Hal ini menjerumuskan sebahagian mereka ke lembah kekufuran. Manakala manhaj sebahagian Hanabilah terlalu berpegang dengan zahir nas hingga menjerumuskan mereka ke lembah tasybih dan tajsim.

Menggambarkan hakikat ini, Dr. Ahmad Abu Zaid menyatakan: “Roh mazhab al-Asy’ari kekal sebagaimana asal, iaitu pertentangan dan adil dalam menyelesaikan permasalahan akidah yang rumit. Manhaj pertengahan ini berlaku juga antara penggunaan akal dan nas, kerana Muktazilah

melampau batas dalam penggunaan akal, manakala golongan yang tidak sependapat dengan mereka daripada kalangan Hanabilah pula keterlaluan dalam berpegang kepada zahir nas. Tetapi Imam Abu Hasan al-Asy’ari memadukan antara akal dan nas, maka manhajnya merupakan pertengahan antara takwil dan berpegang dengan makna yang zahir daripada nas; ia mentakwil dalam kadar tertentu dan berpegang dengan makna yang zahir daripada nas dengan kadar tertentu.”

2. ASSAWAD AL-A’ZAM: Ahli Sunnah walJamaah merupakan golongan yang disebut dalam hadis sebagai Assawad al-A’zam (kumpulan terbesar).

Dalam beberapa hadis, Rasulullah memerintah umatnya berada bersama golongan ini ketika wujud perbezaan dan khilaf di kalangan umat Islam; antaranya adalah:

“Sesungguhnya umatku tidak akan sekata (ijmak) dalam perkara yang sesat. Apabila kamu melihat perbezaan pendapat maka hendaklah kamu berada bersama kumpulan terbesar (Assawad al-A’zam).”

“Sesungguhnya umatku sama sekali tidak akan bersepakat menerima perkara yang sesat, dan pertolongan Allah bersama jemaah, maka hendaklah kamu sekalian mengikuti kumpulan terbesar. Sesiapa yang memencilkan diri (daripada kumpulan terbesar), ia akan terpencil dalam neraka.”

Daripada hadis-hadis di atas dapat diambil kesimpulan bahawa Assawad al-A’azam merupakan tali penyelamat ketika berhadapan dengan gelombang pemikiran, aliran fahaman dan mazhab yang berkecamuk di tengah-tengah masyarakat pada setiap zaman.

3. PENDEKATAN BERMAZHAB: Ahli Sunnah wal-Jamaah menggunakan pendekatan bermazhab dalam memahami dan mengamalkan ajaran Quran dan Sunnah dan dalam melaksanakan prinsip ijtihad. Semoga Allah merahmati Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi yang telah mempertahankan pendekatan ini daripada serangan golongan Lamazhabiyyah melalui bukunya iaitu Lamazhabiyyah Ancaman Paling Bahaya Terhadap Syariah Islamiah yang sangat bernilai.

Adalah benar apa yang beliau sebutkan dalam bukunya itu:

“Satu hakikat yang diketahui dan diijmak oleh umat Islam dari generasi ke generasi adalah bahawa mazhab-mazhab ini merupakan pati dan hakikat Islam. Mazhab-mazhab inilah yang telah menerangkan hukum-hukum Islam kepada kaum Muslimin pada setiap zaman dan memudahkan mereka berpegang dengan kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW.”

Al-Imam Abu Hasan al-Asy’ari mahupun al-Imam Abu Mansur al-Maturidi – yang manhaj kedua-duanya dalam menghuraikan akidah membentuk mazhab Ahli Sunnah wal-Jamaah – bukanlah mencipta mazhab baharu dan tersendiri. Sebaliknya mereka menuruti mazhab salaf daripada para Sahabat dan tabiin dalam menegakkan akidah bersandarkan hujah-hujah naqli dan aqli. Imam al-Asy’ari sendiri bermazhab Syafii, manakala Imam al-Maturidi pula bermazhab Hanafi.

Berkata Imam Ibnu as-Subki:

“Ketahuilah bahawa Imam Abul Hasan tidak mencipta pandangan dan bukan mewujudkan mazhab, beliau hanya menetapkan mazhab salaf, mempertahankan apa yang dipegang oleh para sahabat Rasulullah. Maka dengan itu menyandarkan mazhab kepada beliau hanyalah kerana beliau telah membentuk satu manhaj berhujah yang beliau berpegang dengannya dan telah membuktikan kesahihannya melalui hujahhujah dan dalil yang meyakinkan. Berasaskan ini, mereka yang mengikuti manhajnya dan menggunakan hujah-hujah yang dirintis olehnya dinamakan Asy’ari. Sama halnya dengan orang yang mengikut mazhab Ahli Madinah dipanggil Maliki, sekalipun Imam Malik hanya mengikuti perjalanan orang-orang yang sebelumnya.”

Manhaj akidah kedua-dua Imam ini (Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi) menjadi ikutan ulama-ulama besar Islam yang terdiri daripada fuqaha (ahli fikah), ahli tafsir, ahli hadis, ahli tasawuf, ahli bahasa, ahli sejarah dan ahli pelbagai bidang ilmu Islam. Oleh itu, berpegang kepada mazhab merupakan kaedah yang digunakan oleh Assawad al-A’zam ulama Islam. Dengan itu ia merupakan tali penyelamat berasaskan hadis-hadis yang disebutkan di atas.

4. TASAWUF SUNNI: Ilmu dan amalan tasawuf yang hak adalah pelaksanaan kepada martabat ihsan yang merupakan penyempurna kepada dua rukun agama yang lain, iaitu Islam dan Iman.

Berkata Imam as-Suyuti:

“Ketahuilah bahawa tasawuf pada hakikatnya merupakan ilmu yang mulia dan tinggi darjatnya. Ajarannya berlandaskan sunnah. Para ulama terkemuka sentiasa menyanjungnya dan memuliakan serta meyakini para pendukungnya. Sesungguhnya mereka adalah para wali Allah dan golongan terpilih daripada hamba-hamba-Nya selepas para nabi dan rasul-Nya …”

Sumber: Majalah Q&A, penulis: Datuk Hj Wan Zahidi Wan Teh, mantan Mufti Wilayah Persekutuan

Related Posts

Leave a Comment