fbpx

Dua Sunnah Selepas Subuh dan Maghrib

by noraina
0 comment 27 views

“Jangan tinggalkan dua amalan sunnah selepas solat Subuh dan Maghrib”

Q     Bilakah amalan ini dilakukan?

A   Ia khusus dilakukan selepas solat Subuh dan Maghrib sahaja dengan cara dan bilangan bacaan yang tertentu.

Q    Apakah dua amalan sunnah itu dan kaedahnya?

A  Pertama: Membaca sebanyak 10 kali, dalam keadaan masih duduk tahiyyat akhir dan tidak berkata-kata, sehingga selesai bacaan:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya segala kerajaan dan segala pujian. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Kedua: Membaca sebanyak tujuh kali, sebelum berkata-kata sehingga selesai bacaan:

اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ  

“Ya Allah, peliharalah aku dari api neraka.”

Boleh juga membaca:

اللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ

“Ya Allah, peliharalah kami dari api neraka.”

Q   Apakah fadilat amalan yang pertama?

A Hadis daripada Abu Zar berkata, “Sesungguhnya Rasulullah  bersabda,‘Barangsiapa yang membaca selepas solat Subuh, dalam keadaan kakinya masih seperti tasyahhud akhir, sebelum berkata-kata sebanyak sepuluh kali, ditulis baginya sepuluh kebaikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan (dosa), diangkatkan baginya sepuluh darjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga daripada segala perkara yang dibenci, terbenteng daripada syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali syirik (menyekutukan) Allah’.” (Riwayat at-Tirmizi dengan sanad Hasan, Imam ath-Thobrani menyebutnya di dalam al-Aushot dan al-Kabir. Lihat juga Shahih at-Targhib wa at-Tarhib: 1/306)

  • Imam an-Nasa’i menambah, “Dan baginya setiap yang dibacanya pahala seumpama membebaskan seorang hamba.”
  • Imam Ath-Thobrani menambah, “Dan baginya setiap apa yang dibacanya pahala membebaskan seorang hamba daripada anak Nabi Ismail dengan harga seorang daripada mereka 12000.

Q    Apa pula fadilat amalan yang kedua?

A  Hadis daripada al-Harith bin Muslim daripada ayahnya berkata; Nabi  bersabda, “Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: “Allahumma ajirni min nar” tujuh  kali, maka sekiranya kamu meninggal pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka. Dan apabila kamu selesai menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata:  “Allahumma ajirni min nar”, tujuh kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan daripada api neraka.” (Riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)

Q   Mengapakah dua amalan ini sangat digalakkan?

Kedua-duanya termasuk di dalam sunnah Nabi . Orang yang mengamalkan sunnah Nabi  memperoleh ganjaran yang sangat  besar. Rasulullah  bersabda, “Sesiapa yang berpegang (mengamalkan bersungguh-sungguh) sunnahku ketika umat sudah binasa (teruk), maka baginya pahala seratus mati syahid.”

Dalam riwayat lain:

“Maka baginya pahala sekali mati syahid.” (Riwayat Ath-Thobrani, Al-Baihaqi: Az-Zuhd al-Kabir, Ibn Adi: Al-Kamil dan az-Zahabi: Mizan al-I’tidal) Di samping itu juga, fadhilat setiap amalan ini juga sangat besar seperti yang disebutkan dalam dua hadis yang terdahulu.

Sumber: Majalah Q&A / Ustaz Muhadir bin Haji Joll (Penasihat Syariah Galeri Ilmu Media Group)

Related Posts

Leave a Comment