fbpx

Faraid: Apa Rahsia Di Sebalik Pembahagian Sama Banyak?

by Ibn Hisham
0 comment 16 views

Hukum  faraid  menetapkan  pembahagian yang  lebih  kepada  anak  lelaki  sekali ganda  berbanding  anak  perempuan. Ini  bermakna  sekiranya  anak  lelaki  mendapat bahagian  sebanyak  RM2,000,  anak  perempuan akan mendapat RM1,000.

Hukum ini dinyatakan di  dalam  al-Quran,  surah  al-Nisa’:  ayat  11  yang bermaksud: “Allah  perintahkan  kamu  mengenai (pembahagian  harta  pusaka  untuk)  anak-anak kamu  iaitu  bahagian  seorang  anak  lelaki  menyamai bahagian  dua  orang  anak  perempuan.”

Bagaimanapun,  ada  kalangan  waris-waris bersetuju  supaya  harta  pusaka  ibu  atau  bapa mereka  dibahagi  sama  rata  antara  anak  lelaki dan  anak  perempuan.  Bermakna  kalau  anak  lelaki mendapat  RM2,000,  anak  perempuan  juga  mendapat sebanyak  itu.  Soalnya,  ada  yang  mempersoalkan, bolehkah  pembahagian  sama  banyak  dilakukan?

Apakah  pembahagian  sama  banyak  itu dikira  membelakangkan  hukum  Allah  atau   tidak  mengikut  ketentuan  Allah  dalam  al-Quran?

Pembahagian  sama  banyak  berlaku  dalam beberapa  situasi.  Antaranya:

  • Anak  lelaki  dengan  rela  hati  bersetuju membahagikan  harta  pusaka  itu  sama  rata dengan  anak  perempuan.
  • Anak  perempuan  memohon  supaya  dibahagi sama,  dan  anak  lelaki  bersetuju.
  • Anak  sulung  mencadangkan  supaya  harta  pusaka itu  dibahagi  sama  banyak  dan  memaksa  adikadik  supaya  mematuhi  cadangannya.
  • Seorang  ibu  membahagikan  harta  peninggalan suaminya  kepada  anak-anaknya  sama  rata sedangkan  anak-anak  masih  belum  cukup  umur.

Pembahagian  sama  banyak  boleh  dilakukan dengan  syarat  waris-waris  memahami  konsep pembahgian  dan  syarat-syaratnya,  bukan  sekadar mengikut-ikut.

KONSEP PEMBAHAGIAN:

Asal  pembahagian  adalah  mengikut  hukum  faraid. Sebagai  contoh,  si  mati  meninggalkan  seorang  anak lelaki  dan  seorang  anak  perempuan  dan  kesemua harta  pusaka  berjumlah  RM150,000.00.  Mengikut hukum  faraid,  pembahagian  harta  pusaka  RM150,000.00 ini  adalah seperti  berikut:

  • Anak lelaki (2/3) = RM100,000.00
  • Anak perempuan (1/3) = RM 50,000.00

Hukum  faraid  menentukan  bahagian  anak lelaki  RM100,000.00  manakala  anak  perempuan memperolehi  RM50,000.00.  Sekiranya  anak  lelaki bersetuju untuk dibahagi sama banyak, pembahagian menjadi  seperti  berikut:

  • Anak lelaki (1/2) = RM 75,000.00 iaitu kurang RM 25,000.00
  • Anak perempuan (1/2) =  RM 75,000.00 iaitu lebih RM 25,000.00

Pembahagian  sama banyak  bermakna  anak lelaki  dengan  rela  hati bersetuju  menyerahkan sebanyak  RM25,000.00 kepada  anak  perempuan. Dengan  penyerahan  ini bermakna  anak  perempuan akan  mendapat  tambahan RM25,000.00  menjadikan jumlahnya  RM75,000.00.

Memahami  konsep  ini, bermakna  persetujuan  anak  lelaki diwajibkan  dan  dengan  syarat:

  • Sebelum  pembahagian,  anak  lelaki  terlebih dahulu  mengetahui  bahagiannya  mengikut  hukum faraid.
  • Setiap  anak  lelaki  memahami  konsep pembahagian  sama  banyak.
  • Persetujuan  dibuat  secara  sukarela  dan  tiada paksaan  atau  ugutan.
  • Anak  lelaki  cukup  umur  dan  sempurna  akal.

Ini  bermakna,  sekiranya  ada  paksaan  atau waris  lelaki  belum  cukup  umur  atau  tidak  siuman, pembahagian sama banyak tidak boleh dilaksanakan.

Bagaimana  sekiranya  ada  tiga  anak  lelaki, tetapi  seorang  daripada  mereka  tidak  setuju  dengan  pembahagian  sama  banyak?

Berikan  hak  anak  lelaki  yang  tidak  bersetuju itu  mengikut  faraid,  manakala  untuk  waris  lain dibahagi  sama  banyak.  Lihat  contoh  dalam  rajah  di bawah:

Asal  pembahagian  mengikut  faraid:

JUMLAH: RM150,000.00

  • Anak lelaki no. 1 (2/8) = RM37,500
  • Anak lelaki no. 2 (2/8) = RM37,500
  • Anak lelaki no. 3 (2/8) = RM37,500
  • Anak perempuan no 1 (1/8) = RM18,750
  • Anak perempuan no 2 (1/8) = RM18,750

Hanya  anak  lelaki  no.  3  mahukan  pembahagian secara  faraid,  manakala  yang  lain  bersetuju  dengan pembahagian  sama  banyak.  Maka  pembahagiannya adalah  seperti  berikut:

JUMLAH: RM150,000.00

  • Anak lelaki no. 1 (3/16) = RM28,125
  • Anak lelaki no. 2 (3/16) = RM28,125
  • Anak lelaki no. 3 (4/16) = RM37,500
  • Anak perempuan no 1 (3/16) = RM28,125
  • Anak perempuan no 2 (3/16) = RM28,125

Bahagian  anak  lelaki  no.  3  dikekalkan  mengikut faraid  manakala  untuk  waris  lain  dibahagi  sama banyak. Fahami  konsep  pembahagian  sama  banyak. Elakkan  perbalahan.  Elakkan  pembahagian  tidak wajar.  Tiada  paksaan  dalam  pembahagian.

Sumber: Majalah Q&A, penulis: Hj. Wan Abdul Halim Wan Harun (Pakar Perunding Harta Pusaka dan Faraid)

Related Posts

Leave a Comment