fbpx

Hebat Malam Itu!

by noraina
0 comment 58 views

Keuntungan terbesar bagi seorang Mukmin ialah berkesempatan bertemu Ramadan dan berpeluang pula bertemu dengan malam al-Qadr.

Di samping kemuliaan sepanjang keberadaan kita dalam bulan yang penuh berkat ini, jangan lupa satu malam yang perlu kita tunggu serta nantikan iaitu malam al-Qadar. Kehebatan malam tersebut begitu banyak. Para ulama banyak menghasilkan nukilan berupa kitab-kitab dan juga risalah yang menceritakan kehebatan dan kebesaran malam ini.

Dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir ada menukilkan, malam al-Qadr diberkati Allah SWT sebagaimana yang dirakamkan dalam beberapa ayat al-Quran. Antaranya ialah firman Allah SWT:

 “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat …”

 (Ad-Dukhaan 44: 3)

Dalam surah al-Baqarah ayat 185 Allah SWT berfirman, mafhumnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran.

Malam Diturunkan al-Quran

Allah SWT juga menurunkan satu surah yang khusus berkaitan malam al-Qadr; menceritakan tentang al-Quran yang diturunkan pada malam tersebut.  Allah SWT berfirman, mafhumnya: “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr.” (Surah al-Qadr 97: 1)

Ibnu Hajar di dalam kitab Syarah Sahih Bukhari nukilannya, mengatakan bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadr dengan lengkap ke langit dunia (Bait al-Izzah). Pendapatnya itu turut disahihkan oleh Ibnu Abbas.

Pandangan lain pula mengatakan, malam al-Qadr ialah malam permulaan diturunkan al-Quran ke dalam hati Baginda Nabi Muhammad SAW. Ada juga pendapat ulama yang lain, mengatakan bahawa malam al-Qadr ialah malam yang Allah perintahkan kepada Qalam untuk menulis al-Quran di Luh Mahfuzh.

Kesemua pandangan yang diutarakan ini hanyalah pendapat para ulama semata-mata. Yang pastinya, malam al-Qadr mengihimpunkan kelebihan keistimewaannya yang tersendiri,  sehinggalah Allah SWT merakamkan satu surah yang khusus menceritakannya dan di dalam hadis-hadis Baginda Nabi SAW.

Antara kelebihan malam al-Qadr ialah:

  1. Ibadah yang dilakukan pada malam tersebut seperti membaca al-Quran, berdoa, berzikir atau mengerjakan amal-amal kebajikan yang lain adalah terlebih baik daripada amalan yang dilakukan selama seribu bulan. Ini adalah sabit dengan ayat ke-3 surah al-Qadr; “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.”

Ibnu Jarir al-Thabari juga menukilkan dalam Tafsirnya: “Amalan yang dilakukan pada malam al-Qadr adalah terlebih baik daripada amalan yang dilakukan selama seribu bulan.” Pendapat ini turut disokong oleh Ibnu Kathir dalam Tafsirnya.

  •  Tidak keluar syaitan pada malam al-Qadr. Ini adalah sabit dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban daripada Jabir, Baginda SAW bersabda: “Tidak akan keluar syaitan sehinggalah keluar fajar keesokannya.” Allah SWT juga berfirman berkaitan hal ini:

  “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.”  (al-Qadr 97: 5)

Dimaksudkan dengan kesejahteraan sehingga terbitnya waktu fajar ialah kesejahteraan dan keselamatan bagi mereka yang memperoleh malam al-Qadr. Syaitan dan sekutunya tidak akan dapat mengganggu serta menyakiti orang-orang Mukmin. Mujahid berkata: “Kesejahteraan yang tidak memungkinkan syaitan untuk melakukan kejahatan dan tidak akan berlaku sebarang kecelakaan.”

Malahan, diriwayatkan daripada Ubai bin Kaab, berkata: “Syaitan tidak akan mampu mengapa-apakan sesiapa, sama ada mencederakan, atau melakukan kemungkaran, dan tidak akan memberi kesan sihir sang penyihir.”

  • Allah SWT berfirman:

 “Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara.” (Al-Qadr 97: 4)


Yang dimaksudkan dengan roh tersebut ialah, Jibril a.s. Diriwayatkan daripada Khuzaimah, daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Malam al-Qadr ialah malam ke 27 atau 29 daripada Ramadan, dan para malaikat pada malam itu begitu ramai melata di muka bumi seperti batu-batuan. Turunnya para malaikat beserta dengan rahmat dan keberkatan dan juga kebahagiaan.” (Sahih Ibnu Khuzaimah)

Ganjaran Berlipat Ganda

Al-Quran, hadis, mahupun para ulama tidak menetapkan sebarang amalan yang khusus untuk dilakukan pada malam al-Qadr. Kesemua amal kebajikan yang dilakukan akan dilipatgandakan ganjarannya. Apatah lagi jika benar-benar bertepatan dengan malam al-Qadr. Apa sahaja amalan; membaca al-Quran, mendirikan solat malam, berzikir, bersedekah, berbuat baik kepada ahli keluarga dan jiran, atau amalan-amalan baik yang lain, semuanya diganjari oleh Allah SWT dengan pahala yang luar biasa banyaknya.

Keterlaluan dalam mengerjakan amalan-amalan sunat dalam bulan Ramadan bukanlah bid‘ah yang keji. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh iman dan ihtisab maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. Dan barang siapa yang mendirikan malam al-Qadr dengan penuh iman dan ihtisab maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari)

Tiada pengharapan yang lebih besar selain menagih keredhaan Allah SWT. Tiada keuntungan yang lebih besar bagi seorang Mukmin yang diberi kesempatan oleh Allah SWT bertemu bulan Ramadan, kecuali mendapat malam yang berlimpah keberkatan ini. Dan tiada perkara yang lebih memilukan dan diperlukan oleh seorang Mukmin, sehinggalah diampunkan oleh Allah SWT segala dosanya; mendapat rahmat dan maghfirah-Nya. Dengan keberkatan malam yang lebih baik daripada seribu bulan!

Sumber: Majalah Q&A/ Muhammad Shaiffudin bin Abu Bakar

Related Posts

Leave a Comment