fbpx

Hidup Dikelilingi Dosa – Masih Adakah Ampunan-Nya?

by noraina
0 comment 29 views

Kegagalan seseorang menyedari matlamat hidupnya yang sebenar akan merosakkan jiwa, fikiran dan tindakannya.

Dalam keadaan  yang sangat mencabar pada zaman yang penuh fitnah dan ujian ini, iman kita diuji dengan dahsyatnya oleh suasana persekitaran yang banyak bercanggah dengan nilai-nilai keimanan. Kita sangat terdedah kepada perkara-perkara yang mengakibatkan kemurkaan Allah SWT.

Ke mana kita melepaskan pandangan maka di situ kita akan melihat perkara yang mungkar. Di mana kita meletakkan pendengaran, di situ kita akan mendengar perkara yang bercanggah dengan iman. Ke mana kaki kita melangkah, akan banyak perkara yang mendorong kita untuk melakukan kemaksiatan. Kita tidak dapat terlepas daripada melakukan dosa dan kesalahan, cuma besar atau kecil, banyak atau sedikit, teruk atau biasa sahaja.

Q Memang beginilah keadaannya, maka bagaimanakah nasib kita? Apakah tidak ada ruang untuk beroleh kebaikan dan kerahmatan Allah dalam keadaan hari ini yang sangat menduga iman?

A Ada jaminan kebaikan, tetapi hanya untuk mereka yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Demikian mafhum daripada hadis Nabi SAW; daripada Anas r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman dalam hadis Qudsi: ‘Hai anak Adam, selama engkau masih berdoa dan berharap kepada-Ku, Aku mengampuni bagimu akan segala dosa yang ada padamu dan Aku tidak peduli (walaupun dosa itu banyak). Hai anak Adam, jika dosamu sampai ke atas awan yang ada di langit, kemudian engkau datang mengharapkan keampunan daripada-Ku, pasti Aku berikan keampunan kepadamu. Hai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku membawa dosa sepenuh bumi ini, kemudian engkau datang menemui Aku padahal engkau tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu, pasti Aku akan datangkan kepada-Mu sepenuh bumi pula keampunan.” (Riwayat Tirmizi)

Q Secara ringkasnya, apakah yang boleh diambil renungan daripada hadis Qudsi ini?

A Hadis ini menunjukkan kepada kita tentang keluasan rahmat Allah SWT yang tidak bertepi dan luas. Allah tidak akan mengecewakan harapan sesiapa sahaja yang benar-benar mengharapkan-Nya. Allah SWT akan mengampunkan segala dosa hamba-Nya dan akan memasukkan mereka ke dalam syurga, sekiranya mereka benar-benar berdoa dan berharap kepada-Nya serta bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keampunan daripada-Nya, dengan disertai tauhid yang benar iaitu tiada syirik dan hati mereka sentiasa berbaik sangka dengan pengampunan daripada Allah SWT.

Q Kita tahu dosa kita sangat banyak. Bagaimanakah cara untuk kita mendidik jiwa supaya tidak berterusan melakukan maksiat?

A Sekiranya kita dapat melihat betapa banyak dosa kita kepada Allah SWT, pasti luluh daging muka kerana berasa malu untuk berhadapan dengan-Nya pada hari kiamat nanti. Apabila badan kita yang berlumuran dengan dosa ini disoal siasat oleh Allah SWT, rasanya tidak layak untuk kita menjadi penghuni syurga yang hanya dijanjikan oleh Allah SWT kepada orang yang taat mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya; dalam masa yang sama kita tidak pula mampu untuk berhadapan dengan seksaan neraka-Nya yang sangat pedih. Oleh sebab itu, tiada jalan lain kecuali kita menaruh harapan yang tinggi agar Allah SWT memasukkan kita ke dalam syurga dan menjauhkan kita daripada seksaan api neraka.

Q Selain menaruh harapan yang tinggi, tentu perlukan usaha agar harapan itu tidak sekadar harapan kosong. Apakah tindakan yang perlu diambil untuk memastikan harapan tersebut seiring dengan usaha yang sepatutnya?

A Kesedaran yang mendalam perlu ditanam dalam jiwa setiap orang. Dari masa ke masa, hati perlu diperiksa dan diubati, supaya bersih dan sihat. Akhirnya, segala amal ibadah dan tindakan yang kita lakukan semuanya berdasarkan kepada kesucian niat yang terkandung dalam hati yang bersih. Kegagalan seseorang menyedari matlamat hidupnya yang sebenar akan merosakkan jiwa, fikiran dan tindakannya. Fikirannya sempit.

Neraca pertimbangannya hanya untuk memuaskan hawa nafsu dan meraih kesenangan dunia yang sementara ini. Dia mencari kerehatan di tempat yang telah ditentukan oleh Allah SWT sebagai tempat berusaha iaitu di dunia ini. Dia mencari buah di kebun yang baru sahaja ditanam, maka pasti dia tidak akan menemuinya.

Q Sebagai kesimpulan, apakah pesanan Tuan Guru kepada kita semua dalam menjernihkan kembali hidup kita ini?

A Daripada Abi Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khattab r.a. daripada Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya Allah Azza wa Jalla  menerima taubat seseorang hamba selagi rohnya masih belum sampai ke halqum (kerongkong).” (Riwayat Tirmizi)

            Baiklah sahabat! Kita masih belum terlambat. Pintu taubat masih terbuka. Rahmat Allah SWT lebih luas daripada murka-Nya. Keampunan-Nya lebih besar daripada dosa-dosa kita. Yang penting, kita bersedia untuk terus mengetuk pintu-Nya. Selalulah datang merayu meminta belas kasihan-Nya. Hanya kepada-Nya kita pasrahkan diri kita yang berlumuran dosa, dengan sepenuh harapan dan keyakinan supaya kita digolongkan dalam kumpulan hamba-hamba-Nya yang diterima dan mendapat keampunan serta dijauhkan daripada seksaan api neraka; menjadi penghuni syurga yang kekal abadi itu.

Sumber: Majalah Q&A /  Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam

Related Posts

Leave a Comment