fbpx

IKHLAS ITU RAHSIA ALLAH, TETAPI APAKAH ADA INDIKATORNYA?

by noraina
0 comment 63 views

“Berbagai-bagai amalan yang dilakukan oleh seseorang Mukmin adalah seperti jasad yang kosong tanpa nyawa. Nyawanya ialah keikhlasan hati.” Demikian pandangan Ibnu ‘Ataillah mengenai hubungan antara amalan dengan keikhlasan serta kedudukan dan kepentingannya. Pandangan beliau ini selaras dan menepati maksud hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya amalan-amalan itu dengan niat-niat dan sesungguhnya seseorang yang beramal itu akan dapat balasan baiknya setakat mana yang diniatkan.”

Q. Apakah kaitan antara amalan dan niat?

A. Amalan adalah gerak jasad. Niat adalah gerak hati. Nilai amalan ditentukan oleh gerak hati. Gerak hati yang terbaik sekali berlaku hanya pada hati yang bersifat ikhlas.

Satu riwayat menyebutkan, apabila Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai ikhlas, baginda menegaskan bahawa dirinya tidak tahu dan baginda perlu bertanya kepada Malaikat Jibrail a.s. Jibrail pun tidak tahu makna ikhlas apabila baginda SAW bertanya kepadanya. Apabila Jibrail bertanya kepada Allah mengenai ikhlas maka Allah berfirman yang bermaksud: “Ikhlas adalah satu rahsia dari berbagai-bagai rahsia-Ku yang Aku limpahkan ke dalam hati seseorang yang Aku kasihi dari kalangan hamba-hamba-Ku.”

Berdasarkan hadis qudsi ini, ikhlas yang sebenar adalah perkara kurniaan Allah (amru wahbiy). Kurniaan Allah ini menurut al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hambali (wafat 779H) biasanya akan diterima oleh seseorang Mukmin yang telah mencapai tingkat ihsan tahap kedua.

Q. Apakah itu ihsan dan tahapnya?

A. Maksud sabda Nabi Muhammad SAW: “Ihsan ialah kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak seolah-olah melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu.”

Ibnu Rajab menjelaskan bahawa ihsan mempunyai dua tahap. Tahap pertama adalah ketika seseorang itu difanakan oleh Allah sehingga dirasakan dalam rasa rohani wujudnya Allah; dia merasa seolah-olah melihat Allah.

Pada tahap pertama ini Allah belum kurniakan sifat ikhlas ke dalam hati orang tersebut kerana ada kekurangan sifat ubudiah. Tetapi apabila di peringkat kedua, iaitu sesudah Allah keluarkan orang itu daripada fana dan berada dalam keadaan ‘baqa  billah’ maka barulah Allah kurniakan sifat ikhlas ke dalam hatinya. Ini menunjukkan atau membuktikan di peringkat kedua ini orang tersebut telah mencapai sifat ubudiah yang sempurna.

Untuk mencapai tingkat keikhlasan hati yang tersebut, seseorang Mukmin perlu mendapat pimpinan seorang syeikh mursyid yang dikurniakan oleh Allah keikhlasan hati. Ibnu Khaldun menegaskan dalam kitabnya Syifa’us Sail Li Tahzibil Masail, seseorang yang mahu

menjalani jalan mujahadah yang menuju kepada tingkat ihsan wajiblah dipimpin oleh seorang syeikh atau guru mursyid. Mujahadah tersebut Ibnu Khaldun istilahkan sebagai mujahadah al-kasyf wal atla’, iaitu mujahadah yang membawa kepada terkasyafnya dalil-dalil mengenal Allah di alam malakut dengan pandangan hati. Ketika itulah orang tersebut akan merasa seolah-olah melihat Allah.

Menurut Ibnu Khaldun, dalam mujahadah tersebut aspek jasmaninya akan menjadi lemah dan aspek rohaninya akan menjadi kuat. Sampai satu tingkat, jasmaninya menjadi terlalu lemah dan rohaninya terlalu kuat. Pada masa itu orang yang bermujahadah itu dapat disebutkan sebagai ‘insanun ruhiyyun’ atau manusia roh semata-mata. Jasadnya tidak lagi menguasai rohnya. Ketika itulah pandangan roh akan dapat melihat dalil-dalil mengenal Allah.

Q. Apakah indikator kepada sifat ikhlas?

A. Ada beberapa indikator yang menunjukkan seseorang itu mempunyai keikhlasan hati yang sebenar. Antaranya:

  1. Hatinya sentiasa tenggelam dalam mengingati nama Allah, wujud-Nya, sifat-sifat keagungan-Nya (sifat-sifat Jalal) dan sifat-sifat kesempurnaan-Nya (sifat-sifat Jamal).
  2. Tidak memikirkan pahala atau balasan baik.
  3. Semua ibadah yang dilakukan dirasakan datang daripada Allah kepada dirinya.
  4. Dirinya menerima ibadah itu sehingga dirasakan semuanya adalah rahsia perbuatan Allah.
  5. Orang tersebut juga berasa tidak ada daya dan kekuatan untuk melakukan apa juga ibadah kecil mahupun yang besar. Tanpa daya dan kekuatan Allah, dia tidak akan dapat berbuat apa-apa.
  6. Semua ibadah yang dilakukan oleh orang tersebut dilakukan sebaik-baiknya.
  7. Orang tersebut juga mampu membalas kejahatan seseorang dengan kebaikan.
  8. Hubungan sosialnya sesama manusia dapat dijaga dengan sebaik-baiknya.
  9. Harta bendanya dapat diinfakkan mengikut keredhaan Allah.
  10. Orang tersebut juga sentiasa menjaga hukum-hakam Allah.
  11. Sentiasa bersifat warak iaitu apa yang dinamakan warak khusus, iaitu hatinya hanya mahukan Allah, tidak yang lain.

Glosari:

Fana – tidak kekal

Baqa – kekal

Alam Malakut – alam atau tempat malaikat dan roh

Kasyaf – penyingkapan rahsia alam ghaib melalui pandangan mata hati

Ubudiah – keredhaan kepada apa yang Allah perbuatkan.

Sumber: Majalah Q&A / Tuan Guru Dr Hj Jahid Bin Hj Sidek al-Khalidi:

Mantan Pensyarah, APIUM, Tuan Guru Tarekat, Penulis & Pendakwah

Related Posts

Leave a Comment