fbpx

JIN ada kuasa untuk membentuk diri mereka sendiri

by Ibn Hisham
0 comment 52 views

Perkataan “jin” dalam bahasa Arab bermakna terlindung atau tersembunyi. Ini bermakna, jin tidak boleh dilihat secara mata kasar. Mengikut Syed Sabiq dalam bukunya Al-Qa’id al-Islamiah: ‘Jin adalah roh yang berakal, mukallaf seperti manusia tetapi tidak mempunyai jasad seperti manusia, tidak dapat dilihat dengan penglihatan, tidak dapat disaksikan bentuk dan tabiat mereka yang asli dan mereka mempunyai kuasa tersendiri untuk membentuk diri mereka.’

Daripada definisi, ‘mereka mempunyai kuasa untuk membentuk diri mereka sendiri’ bererti mereka boleh berubah bentuk kepada bentuk yang mereka suka.

Apakah asal kejadian jin?

Al-Quran menjelaskan, asal kejadian manusia adalah daripada tanah dan jin daripada api (surah ar-Rahman: 15) tetapi ia hanya merupakan asal kejadian. Manusia yang berasal daripada tanah tidak sama dengan tanah yang kita lihat kaku begitu sahaja. Allah menjadikan unsur-unsur tanah ini dengan penuh nilai saintifiknya. Ada yang berbentuk pepejal, cecair dan gas. Adanya urat-urat saraf, pembuluh darah, aliran cas positif dan negatif, fungsi otak yang melebihi hard disc komputer dan sebagainya.

Begitu juga denga jin. Jin dicipta daripada unsur api. Ayat ke-15 surah ar-Rahman secara spesifik menyebut: “Dan Allah jadikan jin daripada lidah api”.

“Lidah api” diertikan sebagai bahagian hujung api yang panas. Kajian sains menunjukan bahawa unsur-unsur yang ada di bahagian hujung api adalah oksigen, nitrogen dan hidrogen.

Jika pada manusia, unsur-unsur utama adalah hidrogen, oksigen, karbon dan unsur-unsur berat seperti kalsium dan lain-lain, yang ternyata tidak banyak perbezaan dengan kejadian asal pada jin.

Apakah hukum beriman kepada kewujudan jin?

Di dalam al-Quran dinyatakan terdapat perkataan:

  • Al-jin sebanyak 22 kali
  • Al-jan sebanyak 7 kali
  • Asy-syaitan sebanyak 68 kali
  • Asy-syayatin sebanyak 17 kali
  • Surah yang ke-72 di dalam al-Quran dinamakan surah al-Jin yang membicarakan perihal jin sebanyak 28 ayat.

Berdasarkan fakta ini, beriman kepada kewujudan jin adalah dituntut dalam Islam dan menafikan kehadirannya bererti menolak alQuran. Kita ditegah mempertikaikan ayat-ayat al-Quran walaupun satu ayat sahaja.

Apakah jin juga ada timbangan amalan di akhirat kelak?

Di alam dunia ini, dua makhluk Allah yang mukallaf (yang ada timbangan dosa dan pahala, syurga dan neraka) adalah manusia dan jin. Firman Allah: “Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya menyembah akan Daku.” (ad-Dzariyat: 56)

Berdasarkan ayat ini, jin yang berkongsi alam dengan manusia akan dibalas amalannya di akhirat nanti sama ada dimasukan ke syurga atau diazab di neraka.

Apakah perbezaan ketara antara kejadian jin dan manusia?

Perbezaan ketara jin dan manusia adalah pada tahap suhu:

  • Manusia umumnya berada pada 20 darjah celsius ke 45 darjah celsius. Manusia tidak boleh berada pada tahap melebihi 50 darjah celsius. Jika sampai ke tahap itu, manusia akan mati
  • Jin boleh hidup pada tahap minimum 100 darjah celsius hingga ribuan darjah celsius. Bagaimanapun, jin boleh menurunkan suhunya dan menukar bentuknya sepertimana definisi yang dinyatakan oleh Syed Sabiq di atas. Mengikut Muhammad Isa Daud dalam bukunya Dialog Dengan Jin Islam, jasad jin lebih kurang sama sahaja seperti manusia. Ada kepala, batang tubuh, tangan dan kaki. Tetapi yang membezakannya adalah tahap kesempurnaan.

Apakah persamaan ketara jin dengan manusia?

Dalam alam jin, mereka terdiri daripada lelaki dan perempuan dan membentuk sistem komuniti masyarakat mereka sendiri. Ada jin beragama Islam, Kristian, Hindu, Buddha, atheis dan lain-lain. Mereka mempunyai kerajaan tersendiri, sistem pentadbiran, ekonomi, pendidikan malah membina teknologi mereka sendiri. Jin juga melahirkan pakar-pakar di kalangan mereka. Ada juga kelompok ‘badawi’ atau ‘asli’ yang tidak berhubung dengan kumpulan jin-jin yang lain.

Apakah jin terdiri daripada pelbagai bangsa sama seperti manusia?

Pengalaman berdialog dengan jin membayangkan mereka juga membentuk rupa bangsa mereka sendiri. Kelompok mereka juga boleh dikenali sepertimana alam manusia. Ada jin seperti orang Inggeris, Arab, Hindustan dan tak kurang seperti orang Melayu. Ada yang berkerjaya sebagai ahli perniagaan, dan tidak kurang juga yang menjadi mat rempit.

Menurut pandangan ulama, sebahagian jin boleh merubah bentuk jasad mereka kepada bentuk yang lain. Mereka ini dikategorikan sebagai jin sihir di atas kebolehan ini. Mereka pula akan kekal dalam bentuk itu untuk satu tempoh yang lama.

Oleh yang demikian, kita biasa mendengar makhluk halus berkepala harimau, buaya, mawas dan sebagainya. Mereka ini juga akan membentuk satu komuniti baharu dalam alam jin dengan jasad yang baharu ini.

Kesimpulannya, jin adalah sebahagian daripada perkara ghaib yang tidak mungkin untuk diceritakan secara tepat. Ibnu Mas’ud menyatakan, perkara ghaib adalah perkara yang tidak mampu diketahui oleh manusia dan hanya diketahui secara pasti berlandaskan keterangan yang ada di dalam al-Quran dan al-Hadis. Selain dari keterangan al-Quran dan al-Hadis, ia hanyalah merupakan pengalaman-pengalaman yang mungkin benar dan mungkin tidak.

Sumber: Majalah Q&A, penulis: Ustaz Abdul Majid Hassan, Perawat Akademi Rawatan Islam Nur Ehsan (AKRINE)

Related Posts

Leave a Comment