fbpx

Keberkatan Ramadan – Peluang BONUS Berubah Jadi Baik

by noraina
0 comment 7 views

Gunakan kesempatan dapat melalui Ramadan dengan sebaik-baiknya.

Ramadan adalah tetamu agung dan kurniaan besar daripada Allah SWT sebagai tanda kasih sayang-Nya kepada manusia dan alam semesta. Sebagai ketua kepada segala bulan ini, orang yang beriman diberi peluang seluas-luasnya oleh Allah; juga sebagai tanda kasih dan sayang-Nya kepada makhluk manusia ciptaan-Nya untuk mengerjakan segala amal ketaatan dan ubudiyyah kepada Allah, yang ganjarannya tidak terkira.

Inilah rahsianya ketika Junjungan Mulia SAW menyebutkan dalam hadis Qudsi bahawa Allah SWT berfirman bahawa, “bulan Ramadan ialah bulan umat-Ku …” kerana umat diberi kesempatan yang seluas-luasnya melalui amalan hasanat (kebaikan) mereka untuk meraih kurniaan (athoya) dan keredhaan Allah SWT.

Q Bagaimana sepatutnya perasaan kita setiap kali munculnya bulan Ramadan?

A Para Sahabat berdoa dan bermunajat enam bulan sebelum kedatangan Ramadan agar diberi kesempatan beramal di dalamnya. Apabila tiba Ramadan, mereka tidak melepaskan sedikit pun detik-detik Ramadan melainkan dengan amal ibadah dan taqarrub (amal yang mendekatkan diri kepada Allah). Kemudian, mereka berdoa pula selama enam bulan selepas bulan Ramadan agar diterima amalan kebaikan yang dilakukan dalam bulan mulia ini. Sepatutnya, kita menyambut bulan rahmat, maghfirah (keampunan) dan kelepasan daripada api neraka ini dengan perasaan yang serupa.

Q Kenapakah Ramadan dikatakan penghulu bagi segala bulan?

A Ramadan adalah Sayyidusy Syuhur (ketua segala bulan) kerana beberapa sebab:

  1. Ganjaran pahala dan kurniaan daripada Allah yang paling besar diberikan kepada hamba-hamba-Nya pada bulan ini, mengatasi bulan-bulan yang lain.
  2. Al-Quran sebagai kitab suci yang paling mulia diturunkan pada malam Lailatul Qadar yang berlaku pada bulan Ramadan.
  3. Lailatul Qadar, malam yang fadhilat dan kelebihannya mengatasi beramal selama 1000 bulan.
  4. Ibadah puasa diwajibkan sebulan kepada orang-orang yang beriman, tidak diwajib kepada mereka dalam bulan-bulan yang lain.

Q Adakah kerana hendak merebut fadilat semata-mata, sangat mempengaruhi seseorang itu bersungguh-sunguh beribadah? Apa beza orang yang hanya rebut fadilat (bonus/keuntungan) dalam bulan Ramadan dengan orang yang buat ibadah kerana mencari redha Allah?

A i. Pada bulan Ramadan, syaitan yang besar dan jahat dibelenggu yang menjadikan manusia

lebih senang berbuat kebaikan.

ii. Ganjaran yang disediakan Allah kepada sesiapa sahaja yang berbuat taat adalah

sangat besar. Segala amalan sunat, diberi ganjaran seperti melakukan amalan yang wajib. Tidur orang yang berpuasa juga mendapat pahala. Bersabar dengan kelaparan, juga diberikan ganjaran yang sangat besar.

  1. Bagi orang ‘awwam (kebanyakan), tidak salah jika beramal kerana hendak merebut

fadhilat atau pahala terutamanya pada bulan Ramadan. Ia sebagai tanda berterima kasih atas pemberian dan hadiah daripda Allah SWT, dan ia jalan untuk menambah sebanyak mungkin pahala dan ganjaran. Walau bagaimanapun, bagi orang khawwash (orang yang khusus), beramal kerana inginkan pahala masih lagi di maqam (martabat) orang biasa. Ketika beramal, yang mereka harapkan hanyalah keredhaan daripada Allah, tanpa melihat besar atau kecilnya pahala amalan tersebut. Maqam sebegini tentulah lebih tinggi dan mulia.

Q Apakah pada bulan lain tidak ada fadhilat yang tidak dapat diraih seumpama bulan Ramadan? Bukankah Allah telah nyatakan bahawa sesungguhnya sesiapa yang berpuasa kerana-Nya, doanya akan dimakbulkan?

A Sesiapa yang berpuasa dan berdoa kepada Allah, akan dimakbulkan dengan izin Allah. Ini adalah untuk bulan Ramadan dan bulan-bulan yang lain. Akan tetapi, digandakan pahala amalan, hanya pada bulan Ramadan sahaja.

Hadis daripada Salman al-Farisi r.a. berkata, “Rasulullah SAW  telah berkhutbah kepada kami pada hari terakhir bulan Syaaban dan bersabda: ‘Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadan), itulah bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib, dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu selainnya (selain Ramadan).” (Riwayat Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya)

Q Bagaimanakah cara yang betul menyambut Ramadan?

A Antara cara-caranya ialah:

  1. Menyambut Ramadan dengan perasaan yang gembira kerana keampunan, rahmat dan kurniaan Allah yang mencurah-curah disediakan oleh-Nya dalam bulan ini.
  2. Mempersiapkan diri dengan menambah ilmu pengetahuan fardu ain, khususnya tentang puasa, tentang hukum-hakam puasa, Solat Tarawih, membaca al-Quran dan apa sahaja yang berkaitan dengannya supaya semua ibadah bukan sahaja sah (lulus), tetapi maqbul (diterima) di sisi Allah. Ingatlah selalu bahawa berapa banyak amalan yang sah, tetapi tidak maqbul di sisi-Nya.
  3. Bersedia membersihkan diri daripada kotoran dosa dan maksiat dengan banyak beristighfar dan bertaubat seawal bulan Rejab malah lebih awal dari itu, supaya dapat memasuki Ramadan dan mendapat keampunan (maghfirah) seawal sepuluh pertama daripada Ramadan.
  4. Berusaha menyelesaikan urusan-urusan yang berkaitan dengan dunia umpamanya tugasan kerja di pejabat dan di rumah, supaya tidak disibukkan dengan urusan-urusan sebegini bila tiba Ramadan, terutama pada 10 yang terakhir.

Q Bagaimanakah hendak mengekalkan istiqamah amal ibadah yang biasa dibuat pada bulan Ramadan hingga keluar daripada bulan Ramadan?

A Antara cara-caranya termasuklah:

  1. Berusaha menjadi hamba Allah yang Rabbani, bukan Ramadani. Maksudnya, orang yang beramal pada bulan Ramadan menyakini amalannya akan dinilai dan dibalas oleh Allah pada bulan Ramadan. Oleh itu, Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa yang diyakini pada bulan tersebut, juga ada pada bulan-bulan lain. Justeru, mereka akan mengekalkan amalan sepanjang waktu.
  2. Ingatlah bahawa pahala istiqamah sangat besar di sisi Allah. Justeru, orang yang berjalan kepada akhirat, selalu bersemangat dengan ganjaran pahala yang disediakan.
  3. Orang yang istiqamah adalah tanda Allah SWT telah mengurniakannya sesuatu yang sangat berharga. Orang Mukmin yang sebenar, selalu menanti ‘kurniaan’ daripada Allah SWT.

Sumber: Majalah Q&A / Ustaz Muhadir Hj Joll

Related Posts

Leave a Comment