fbpx

Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban

by Ibn Hisham
0 comment 606 views

Oleh: Ustaz Muhadir Haji Joll, Pendakwah, Penulis, Penasihat Syariah Galeri Ilmu Media Group dan Penaung Majalah QA Digital.

Malam Nisfu Sya‘ban mempunyai kelebihan yang banyak dan mulia, ia mempunyai beberapa nama termasuklah Lailah al-Mubarakah (malam yang berkat), Lailah al-Qasamah wa at-Taqdir (malam pembahagian qadha’ dan qadar), Lailah at-Takfir (malam penghapusan dosa), Lailah al-Ijabah (malam diperkenankan doa), Lailah al-Hayah (malam hidup iaitu hati dihidupkan Allah supaya tidak lupa kepada-Nya), Lailah asy-Syafa‘ah (malam mendapat syafaat), Lailah al-Bara’ah (malam perlepasan daripada api neraka), Lailah al-Barakah (malam penuh keberkatan), Lailah at-Ta‘zhim (malam keagungan), Lailah al-Qadr (malam penentuan), Lailah al-Ghufran (malam pengampunan), Lailah al-‘Itq min an-Nar (malam perlepasan daripada api neraka), Eid al-Mala’ikah (malam Hari Raya kepada para malaikat) dan lain-lain. Semua nama ini merujuk kepada kemuliaan yang ada pada malam tersebut.

Oleh itu para ulama’ mengatakan sunat untuk menghidupkan malam ini dengan segala amal kebaikan.

(a) Hadis

(1) Sayyidina Mu‘az bin Jabal berkata: Rasulullah bersabda:

يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ، إِلَّا لِمُشَارِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ.
“Allah menilik kepada seluruh makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya‘ban, lalu Dia mengampunkan seluruh makhluk-Nya melainkan orang musyrik (orang yang menyekutukan Allah) dan musyahin (orang yang suka bermusuhan).”

(2) Sayyidatina Aisyah berkata:

فَقَدْتُ رَسُولَ اللهِ ذَاتَ لَيْلَةٍ، فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ فِي الْبَقِيعِ رَافِعًا رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ، فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ؟ قَالَتْ: قُلْتُ: مَا ذَاكَ بِيْ يَا رَسُولَ اللهِ، وَلَكِنْ ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ. قَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللهَ يَنْزِلُ إِلَى سَمَاءِ الدُّنيَا لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدَ شَعْرِ غَنَمِ بَنِي كَلْبٍ.
“Aku pernah ditinggalkan Nabi pada satu malam, lalu aku keluar untuk mencarinya. Pada waktu itu, Baginda sedang berada di Baqi‘ dalam keadaan kepala mendongak ke langit, lalu Baginda bertanya: ‘Wahai Aisyah, adakah kamu takut sekiranya Allah murka kepadamu dan Rasul-Nya?’ Aku menjawab: ‘Itulah yang aku tidak mahu tetapi aku menyangka engkau pergi ke rumah isteri-isterimu yang lain.’ Lalu Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya Allah menurunkan rahmat-Nya ke langit dunia pada malam Nisfu Sya‘ban, lalu Dia mengampuni hamba-hamba-Nya lebih ramai daripada bilangan bulu-bulu kambing Bani Kilab’ .”

(3) Imam Al-Ashbahani telah meriwayatkan dalam At-Targhib daripada Sayyidina Mu‘az bin Jabal berkata, Rasulullah bersabda:

مَنْ أَحْيَا اللَّيَالِي الْخَمْسَ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةَ، لَيْلَةَ التَّرْوِيَةِ وَلَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ.
“Sesiapa menghidupkan malam-malam yang lima wajiblah baginya syurga; malam yang kelapan daripada Zulhijjah, (riwayat lain ditambah lagi: malam ‘Arafah, malam Raya Haji, malam Raya Puasa) dan malam Nisfu Sya‘ban.”

(b) Pendapat ulama’

(1) Malam Nisfu Sya‘ban juga adalah antara malam-malam yang dikabulkan doa. Imam Asy-Syafi‘i berkata dalam kitabnya Al-Umm:

بَلَغَنَا أَنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِي خَمْسِ لَيَالٍ: لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الْأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ.
“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: Sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: Pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Aidil Fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam Nisfu Sya‘ban.”

(2) Al-‘Allamah al-Imam al-Musnid, Syaikh Zahid al-Kautsari dalam tulisannya Lailah an-Nishf min Sya‘ban mengatakan:

“Malam Nisfu Sya‘ban adalah malam yang telah menjadi adat untuk umat menghidupkannya dengan rangkaian amalan dan memanjatkan doa kepada Yang Mengabulkan segala hajat, Jalla Jalaluh, kerana terdapatnya atsar yang warid tentang kelebihannya. Ia juga mengkhabarkan berita gembira kepada kita dengan dekatnya ketibaan bulan puasa supaya kita bersedia menghadapinya.

Dan telah menulis Ahlil ‘Ilm dulu dan sekarang tentang kelebihan malam tersebut dalam tulisan-tulisan mereka yang khusus umpamanya ditulis oleh An-Najm al-Ghithi, Ibnu Hajar al-Makki, Ali al-Qari, Salim as-Sanhuri dan selain mereka dalam risalah-risalah mereka yang khusus dalam perbahasan ini. Dan antara yang paling bermanfaat yang ditulis tentang kelebihan malam-malam dan hari-hari yang barakah ialah kitab Al-Latha’if (iaitu kitab Latha’if al-Ma‘arif) karangan Ibnu Rajab al-Hanbali yang telah dicetak dan beredar di tangan-tangan pembaca.”

(3) Al-Hafizh al-Muhaddits asy-Syaikh Salim as-Sanhuri al-Maliki, salah seorang ulama’ besar Al-Azhar asy-Syarif pada kurun ke-8, telah menulis risalah yang sangat berguna dalam menerang dan membincangkan kelebihan malam ini dengan judul Risalah al-Kasyf wa al-Bayan ‘an Fadha’il Lailah an-Nishf min Sya‘ban .

Kitab ini kemudiannya diterjemahkan oleh Syaikhuna, Datuk Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin as-Sanusi dengan judul Kelebihan Malam Nisfu Sya‘aban .

(4) Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menggalakkan untuk membangunkan malam Nisfu Sya‘ban dengan amalan ketaatan kepada Allah dan berpuasa pada keesokan harinya. Beliau menyebutkan dalam kitabnya Latha’if al-Ma‘arif, (ms. 136-137):

فَقُمْ لَيْلَةَ النِّصْفِ الشَّرِيفِ مُصَلِّيًا فَأَشْرَفُ هَذَا الشَّهْرُ لَيْلَةُ نِصْفِهِ
فَكَمْ مِنْ فَتَى قَدْ بَاتَ في النِّصْفِ آمِنًا وَقَدْ نُسِخَتْ فِيهِ صَحِيفَةُ حَتْفِهِ
فَبَادِرْ بِفِعْلِ الْخَيْرِ قَبْلَ انْقِضَائِهِ وَحَاذِرْ هُجُومَ الْمَوْتِ فِيهِ بِصَرْفِهِ
وَصُمْ يَوْمَهَا لِلَّهِ وَأَحْسِنْ رَجَاءَهُ لِتَظْفَرْ عِنْدَ الْكَرَبِ مِنْهِ بِلُطْفِهِ
Maka bangunkan malam Nisfu Sya‘ban dengan mendirikan solat
Semulia-mulia bulan Sya‘ban ini terletak pada malam pertengahannya
Berapa ramai pemuda yang tidur pada malam ini dengan aman
Sedangkan telah ditulis tentang kecelakaan baginya dalam catatan
Maka, bersegeralah melakukan amal kebaikan sebelum sampai kematiannya
Dan berjaga-jagalah dengan kejutan kematian padanya dengan kekuasaan-Nya
Dan berpuasalah pada esok harinya kerana Allah dan perbetulkanlah harapan kepada-Nya
Semoga kamu mendapat kurniaan kelembutan-Nya daripada-Nya ketika berlaku huru-hara.


Beliau juga mengatakan dalam kitab Latha’if al-Ma‘arif yang sama:
وَلَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، كَانَ التَّابِعُوْنَ مِنْ أَهْلِ الشَّامِ يُعَظِّمُوْنَهَا وَيَجْتَهِدُوْنَ فِيْهَا فِي الْعِبَادَةِ، وَكَانَ خَالِدُ بْنِ مَعْدَانَ وَلُقْمَانُ بْنِ عَامِرٍ وَغَيْرُهُمَا مِنْ تَابِعِي الشَّامِ يَقُوْمُوْنَ فِي الْمَسْجِدِ لَيْلَةَ النِّصْفِ، وَوَافَقَهُمُ الْإِمَامُ إِسْحَاقُ ابْنُ رَاهَوَيه عَلَى ذَلِكَ، وَقَالَ فِيْ قِيَامِهَا فِي الْمَسَاجِدِ جَمَاعَةً: لَيْسَ ذَلِكَ بِبِدْعَةٍ.
“Malam Nisfu Sya‘ban, para tabi‘in daripada penduduk Syam mengagungkannya dan bersungguh-sungguh menunaikan ibadah pada malam tersebut. Khalid bin Ma‘dan, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain daripada kalangan tabi‘in Syam mendirikan solat di dalam masjid pada malam Nisfu Sya‘ban. Perbuatan mereka dipersetujui oleh Al-Imam Ishaq Ibnu Rahawaih. Ibnu Rahawaih berkata mengenai solat sunat pada malam Nisfu Sya‘ban di masjid-masjid secara berjemaah, ‘Perkara tersebut tidak termasuk bid‘ah’.”


(5) Seorang Waliyullah, Al-Alim al-‘Allamah Asy-Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa‘id bin Jamaluddin al-Linqi al-Malayuwi, mantan Mufti Negeri Sembilan Darul Khusus, dalam karangannya Tuhfah al-Authon wa al-Ikhwan (ms. 74-77), menulis:

“Di sisi ulama’ kita Ahlus Sunnah wal Jama‘ah, kelebihan malam Nisfu Sya‘ban ini adalah tsabit melalui beberapa hadis yang boleh dijadikan dalil dan hujah dalam bab Fadha’il.

Syaikh Muhammad bin Abd ar-Rahman al-Mubarakfuri rhm. dalam “Tuhfahul Ahwazi bi Syarhi Jami‘ at-Tirmizi”, juzuk 3 muka surat 442 menyatakan antara lain:- ..”. Hadis-hadis fadhilat malam Nisfu Sya‘ban itu secara keseluruhan adalah hujah yang mematahkan pendapat yang mengatakan bahawa tidak ada satu dalil pun tentang fadhilah malam Nisfu Sya‘ban.”

(6) Al-Muhaddits al-Alim al-‘Allamah, al-Habib Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki juga telah menulis karangan khusus mengenai kelebihan dan amalan bulan Sya‘ban dalam kitabnya Maza fi Sya‘ban .

(7) Al-‘Allamah Syaikh Wan Ahmad al-Fathani juga menulis kelebihan Nisfu Sya‘ban ini dalam kitabnya Badai’ azh-Zhuhur.

Cara menghidupkannya

Dalam kitab Latha’if al-Ma‘arif (ms. 135-136) disebutkan:

وَيَرْوِي عَنْ نَوْفِ الْبَكَّالِي، أَنَّ عَلِيًّا خَرَجَ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ، فَأَكْثَرَ الْخُرُوجُ فِيهَا، يَنْظُرُ إِلَى السَّمَاءِ، فَقَالَ بِأَنَّ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَامُ خَرَجَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فِي مِثْلِ هَذِهِ السَّاعَةِ، فَنَظَرَ إِلَى السَّمَاءِ، فَقَالَ: إِنَّ هَذِهِ السَّاعَةَ، مَا دَعَى اللهَ أَحَدٌ فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ، إِلَّا غُفِرَ لَهُ…
“Dan diriwayatkan daripada Nauf al-Bakkali, sesungguhnya Ali telah keluar pada malam Nisfu Sya‘ban. Maka banyak kali keluar pada malam itu, dia (Ali) akan memandang ke arah langit. Lalu dia berkata bahawasanya Nabi Daud telah keluar pada suatu malam seperti pada ketika ini lalu Baginda melihat ke langit. Dia pun berkata: ‘Sesungguhnya pada ketika ini, tidaklah seorang itu berdoa kepada Allah, melainkan akan diberi keampunan kepadanya’….”

(Beliau juga menulis):

Di kalangan tabi‘in daripada negara Syam seperti Khalid bin Ma‘dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, mereka membesar-besarkan malam ini dan bersungguh-sungguh melakukan ibadah di dalamnya. Daripada merekalah, orang ramai selepas itu mengikut mereka kerana ada kelebihan dan kebesaran malam ini…. Antara yang setuju dengan mereka dalam membesarkan malam ini ialah sekumpulan ahli ibadah di Bashrah.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar ulama’ Hijaz mengingkarinya termasuklah ‘Atha’ dan Ibnu Abi Malikah. Abdur Rahman bin Zaid bin Aslam telah menukilkannya daripada fuqaha’ Madinah. Itulah juga pendapat Ashab Imam Malik dan lain-lain dan mereka mengatakan: Itu semuanya bid‘ah.”

Ulama’ Syam khilaf dalam cara menghidupkannya atas dua cara:

(1) Sunat menghidupkannya secara berjemaah (beramai-ramai) di masjid. Adalah Khalid bin Ma‘dan, Luqman bin ‘Amir dan selain keduanya, mereka memakai secantik-cantik pakaian pada malam itu, berwangi-wangian, bercelak mata dan membesarkan malam ini di masjid. Ishaq bin Rahuyah juga bersetuju dengan cara mereka dan dia mengatakan: Membangunkan malam ini di masjid secara berjemaah, itu bukanlah bid‘ah (dhalalah). Ia dinukilkan oleh Harb al-Kirmani di dalam Masa’ilnya.

(2) Makruh berkumpul di masjid untuk solat, bercerita kisah-kisah dan berdoa. Tidak makruh jika seseorang solat khas untuk dirinya sahaja. Inilah pendapat Al-Auza‘i, Imam penduduk Syam, yang paling faqih dan paling alim. Ini adalah pendapat yang paling dekat kepada benar, insya-Allah…”

Solat sunat pada malam Nisfu Sya‘ban

Mengenai mengkhususkan solat sunat pada malam Nisfu Sya‘ban, ulama’ khilaf tentangnya. Hujjah al-Islam, Imam Ghazali adalah antara ulama’ yang mentsabitkannya .

Walau bagaimanapun, mengerjakan solat sunat Mutlak atau solat sunat Awwabin, boleh dilakukan pada mana-mana malam sekalipun.

Berkenaan dengan qiyamullail pada malam ini dengan mengerjakan solat-solat sunat terutamanya solat Sunat Tasbih, adalah sangat digalakkan oleh syarak.

Amalan dalam masyarakat Melayu

Bagi masyarakat Melayu secara khusus dan masyarakat Islam seluruh dunia secara umum, apa yang menjadi kebiasaan ialah pada malam itu akan dibaca surah Yasin 3 kali dengan niat pada bacaan yang pertama, minta dipanjang umur dalam kebaikan, yang kedua dengan dimurahkan rezeki dan yang ketiga dengan niat semoga dimatikan dalam husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Ia juga disebut dalam kitab-kitab karangan ulama’ muktabar.

Ia adalah amalan yang baik sekali. Tidak ada satu dalil pun yang mengharamkannya. Malah, terlalu banyak hadis yang menerangkan pahala membaca Al-Qur’an dan surah Yasin adalah termasuk daripada surah-surah di dalam Al-Qur’an. Membaca Yasin sebelum berdoa juga adalah termasuk dalam bab bertawassul dengan amal soleh sebelum berdoa, dan tawassul dengan amal soleh ini, tidak ada seorang pun yang membantahnya. Niat sebelum membaca surah Yasin bertujuan supaya lebih tawajjuh (benar-benar menumpukan hati) kepada hajat ketika membacanya. Tidak ada dalil yang mengharamkannya.

Muat Turun Amalan Malam Nisfu Syaban…(MUAT TURUN).

Related Posts

Leave a Comment