fbpx

Kenapa Anak Malas Mengaji?

by noraina
0 comment 14 views

Andai mahu anak jadi baik, ibu bapa mesti berusaha untuk berubah jadi lebih baik, perlu cari guru untuk belajar dengan niat mahu bantu mengajar anak-anak.

Anak-anak tidak boleh direnggangkan dengan al-Quran. Di dalam jiwa mereka perlu dipupuk rasa kasih, minat dan seronok membaca al-Quran. Namun realitinya, ia tidak semudah itu. Terlalu banyak bahan bacaan lain yang kebanyakannya tidak pun membina minda menjadi kegemaran mereka. Ditambah pula dengan pengaruh medium pandang dengar di zaman teknologi maklumat yang berubah dengan pantas ketika ini selain daripada TV, internet, komputer dan sebagainya.

Bagi berkongsi ilmu mengenai masalah anak-anak tidak gemar mengaji al-Quran, Majalah Q&A berkesempatan menemu bual Ustaz Muhammad bin Musa al-Hafiz as-Sembilani, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Yayasan Al-Huffaz, Parit Panjang, Kupang, Kedah. Beliau telah berjinak dalam dunia menghafaz al-Quran sejak berusia tujuh tahun. Anak keenam daripada sembilan adik-beradik ini telah menyertai pertandingan menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak tahun 1996 hingga 2009.

Q Ustaz, mengapa anak-anak kadang-kadang liat apabila disuruh mengaji Quran?

A  Ada beberapa perkara yang perlu kita ambil perhatian, antaranya:

  1. Persekitaran dalam rumah tangga.

Adakah kehidupan kita sebagai pasangan suami isteri sangat mencintai al-Quran dengan membudayakan membaca al-Quran setiap hari? Adakah kita membaca tafsiran al-Quran dan mengamalkan ilmu yang terkandung dalam al-Quran? Anak-anak akan menjadi baik dan suka kepada al-Quran apabila ibu bapa mendahului dalam memberikan teladan.

  • Pengajian tidak berterusan.

Antara kesilapan ibu bapa ialah semasa anak kecil dipastikan belajar al-Quran dan mesti khatam sebelum masuk sekolah menengah. Apabila anak masuk alam menengah, pengajian al-Quran seolah-olah dipinggirkan. Mereka tidak ditegaskan untuk terus mengulang bacaan di rumah, malah ada anak remaja yang malu hendak baca al-Quran kerana dianggap belum khatam dan takut diejek kawan-kawan.

Kesannya apabila amalan ini mula ditinggalkan, lidah akan menjadi keras serta tidak fasih. Lebih malang lagi, surah-surah lazim yang biasa dihafal juga hilang dari ingatan. Akhirnya, jiwa anak mula kosong dan mudah diisi dengan perkara yang melalaikan. Sepatutnya pada peringkat remaja pengajian al-Quran perlu dipertingkatkan seiring dengan kemajuan akademik yang dicapai.

Kelemahan ibu bapa kita ialah hanya memaksa anak pergi belajar al-Quran, tanpa ada ulang kaji pembacaan tersebut di rumah. Sebaiknya apabila berlaku proses ulang kaji, ayah atau ibu akan cuba membacakan terjemahan ayat-ayat yang dibaca sekali gus dapat merangsang anak untuk seronok memahami isi kandungan al-Quran.

  • Jaga sumber makanan.

Selain menghindari makanan yang haram, berhati-hati dengan makanan dan sumber pendapatan yang bercampur dengan perkara syubhah. Ambil berat cara penyediaan makanan, termasuklah ketika membeli makanan atau bahan mentah yang hendak dimasak. Utamakan membeli dengan penjual yang menutup aurat.

Kepada kaum wanita, berhati-hati apabila membeli-belah atau membeli makanan sewaktu rehat panjang pada tengah hari Jumaat. Ada penjual lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat. Jadi elakkan membeli dengan mereka agar jual beli kita tidak menjadi syubhah.

Sumber: Majalah Q&A / Temu bual Oleh: Hjh Jalilah Abdullah

Related Posts

Leave a Comment