fbpx

Ketahui, Siapakah Golongan Ahlus Sunnah wal Jamaah

by Ibn Hisham
0 comment 91 views

Siapakah yang dikatakan Ahlus Sunnnahh wal- Jamaah?

‘Ahl’ bermaksud keluarga, golongan atau pengikut.

‘Sunnah’ bermaksud apa yang datang daripada Nabi  sama ada perbuatan, ucapan  atau pengakuan.

Jama’ah’ pula bermaksud apa yang telah disepakati oleh para Sahabat pada masa Khulaffa’ ar-Rasyidin.

Sesetengah yang lain mengatakan ‘Jama’ah’ adalah kumpulan  yang mengikuti ajaran Rasulullah dan para sahabat  baginda.

Perkataan Jama’ah ini disebut dalam hadis:

“Sesiapa yang ingin mendapat akan kehidupan yang bahagia di syura,maka hendaklah dia mengikuti  Jama’ah.” (Riwayat  at-Tirmizi dan disahkan oleh al-Hakim dan az-Zahabi)

Oleh itu,  Ahlus Sunnah wal-Jamaah ialah mereka yang mengikuti sunnah Rasulullah dan sunnah para  sahabatnya,  dalam masalah aqidah keagamaan (aqaid badaniyyah), amalan lahiriah (a’mal badaniyyah) serta akhlak hati (akhlaq qalbiyyah). (Lihat Syarh al-Kawakib al-Lamma’ah, Syeikh Abd aSy-Syakur Bangilani, Surabaya: Maktabah al-Hidayah, t.t., ms. 8-9)

Apakah prinsip-prinsip utama ajaran Ahlus Sunnah wal-Jamaah?

Prinsip-prinsipnya adalah:

(1) At-Tawassuth (sikap sederhana dan tidak ekstrim) Ini bersesuaian dengan firman Allah: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu sekalian (umat Islam) umat pertengahan (adil dan pilihan) agar kamu menjadi saksi (ukuran penilaian) atas (sikap dan perbuatan) manusia umumnya dan supaya Allah menjadi saksi (ukuran penilaian) atas (sikap dan perbuatan) kamu sekalian.” (Al-Baqarah: 143)

(2) At-Tawazun (seimbang dalam semua perkara, termasuk dalam penggunaan dalil aqli dan dalil naqli.)

Allah berfirman: “Sungguh Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti kebenaran yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka al-kitab dan neraca (penimbang keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.” (Al-Hadid: 25)

(3) Al-I’tidal(lurus).

Allah Taala berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu sekalian menjadi orang-orang yang tegak membela (kebenaran) kerana Allah menjadi saksi (pengukur kebenaran) yang adil. Dan janganlah kebencian kamu pada suatu kaum menjadikan kamu berlaku tidak adil. Berbuat adillah kerana keadilan itu lebih mendekatkan pada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al-Maidah: 8)

Apakah gambaran tiga prinsip utama ajaran Ahlus Sunnah wal-Jamaah?

Oleh kerana memiliki tiga prinsip utama ini, ia dapat dilihat kewujudannya dalam perkara-perkara berikut:

(a) Akidah –keseimbangan dalam penggunaan dalil aqli dan dalil naqli, tidak mudah menyalahkan atau menghukumkan syirik, bid’ah atau kafir.

(b) Syariah –berpegang teguh kepada al-Quran dan hadis dengan menggunakan metod yang dapat dipertanggung jawabkan secara ilmiah, penggunaan akal dan perbezaan pendapat dibolehkan dalam masalah yang tidak ada nas yang jelas (zhanni, tidak sharih/qotht’i).

(c) Tasawuf/Akhlak Qat’i –menggalakkan ibadah atau aktiviti berkaitan penghayatan Islam, asalkan tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip hukum Islam, menghindari sikap berlebihan (ghuluw) dalam menilai sesuatu, berpandukan akhlak terpuji seperti syaja’ah atau berani (antara penakut dan berani sebarangan), tawaduk (antara sombong dan rendah diri) dan sikap dermawan (antara kedekut dan membazir).

Ciri-ciri ini jelas dipraktikkan dalam perkara lain, seperti dalam pergaulan atau muamalah dengan orang lain, kehidupan bernegara, kebudayaan, sehinggalah dalam usaha dakwah. (Lihat kupasan gambaran tiga prinsip ini dalam Khittah Nahdliyyah, KH Ahmad Shiddiq, Surabaya: Balai Buku, 1979, ms. 40-44 dan Fiqh Tradisionalis: Jawaban Pelbagai Persoalan Keagamaan Sehari-hari, KH Muhyidin Abdusshomad, Jember: Pustaka Bayan dan Pustaka Nurul Islam, Cetakan Ketujuh, 2008, ms. 3-5)

Sumber: Majalah Q&A, penulis: Ustaz Muhadir bin Haji Joll (Penasihat Syariah GIMG)

Related Posts

Leave a Comment