fbpx

Lelaki Bertocang: Berapakah panjang kesesuaian rambut seorang lelaki yang dibolehkan?

by Ibn Hisham
0 comment 240 views

Wajib lepaskan rambut ketika solat?

Lelaki berambut panjang bukanlah satu jumlah yang besar di kalangan penduduk Malaysia. Pun begitu perlu diketahui sejauh mana keharusan berambut panjang yang disunatkan oleh Nabi SAW.

Berapakah panjang kesesuaian rambut seorang lelaki yang dibolehkan?

A: Dari Anas yang menceritakan; “Rambut Rasulullah mencecah dua bahunya” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, Bab al-Ja’di, Hadis no. 5452).

Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi  bersabda; “Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka.” (Riwayat Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, Kitab al-Libas, Bab Fi Lubsi as-Syuhrah, Hadis no. 3512)

Bolehkah lelaki mengikat rambut/tocang atau bersanggul ketika solat?

A: Daripada Ibnu ‘Abbas, bahawasanya Rasulullah bersabda: “Aku telah diperintahkan (oleh Allah) untuk sujud dengan tujuh anggota tubuh yang utama termasuk dahi. Dan beliau dalam masa yang sama menunjukkan ke arah hidung, tapak tangan, kaki, dan jari jemari kaki. Serta (diperintahkan) untuk tidak mengikat rambut serta tidak mengumpulkan (menggulung/melipat) pakaian.” (Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab as-Solah, 3/45, no. 758)

Betulkah apabila seorang lelaki mengikat rambut atau bersanggul semasa solat, syaitan akan bertenggek pada ikatan atau sanggul itu? Boleh datangkan hadis atau ayat al-Quran berkaitan ketegasan ini.

A: Rasulullah  bersabda: “Itu (ikatan rambut) adalah tempat syaitan.” (Hasan, hadis riwayat Abu Dawud [646], at-Tirmidzi [384], Ibnu Khuzaimah [991], ‘Abdurrazaq [4991], al-Baihaqi [II/109] dan Ibnu Hibban [2779])

Kaum lelaki dilarang mengerjakan solat dengan rambut terikat. Imam Tirmidzi berkata (II/224), “Inilah yang berlaku di kalangan ahli ilmu, mereka membenci kaum lelaki solat dengan rambut terikat.”

Asy-Syaukani berkata dalam Nailul Authaar(II/287), “Zahir larangan yang tersebut dalam hadis di atas adalah haram, tidak boleh dipalingkan kepada hukum lain kecuali apabila ada indikasi yang mendukungnya.”

Siapa yang mengerjakan solat dengan rambut terurai, rambutnya pasti terurai (jatuh) ke lantai ketika sujud (jika rambutnya panjang). Ia akan mendapat pahala sujud dengan rambut terurai ke lantai. Kerana hal itu menunjukkan bahawa ia merendahkan kedudukan rambutnya dalam beribadah kepada Allah.

Bolehkah kita membuka ikatan rambut orang lelaki yang sedang solat?

A: Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a, bahwasanya ia melihat ‘Abdullah bin al-Harits sedang mengerjakan solat sementara rambutnya terikat ke belakang. Segera saja Ibnu Abbas bangkit untuk mengurai ikatannya. Selesai solat ia mendatangi Ibnu Abbas dan berkata, “Ada apa gerangan dengan rambutku?” Ibnu ‘Abbas berkata, “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya perumpamaannya adalah seperti orang yang solat dengan tangan terikat’.” (Riwayat Muslim [492])

Diriwayatkan dari Abu Sa’ad – seorang lelaki penduduk Madinah – ia berkata, “Aku melihat Abu Rafi ’ maula Rasulullah  menyaksikan al-Hasan sedang solat dengan rambut terikat. Lalu ia melepaskan ikatannya atau ia melarangnya. Lalu ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah melarang seseorang mengerjakan solat dengan rambut terikat.” (Sahih lighairihi, HR Ibnu Majah [1042], Ahmad [VI/8 dan 391], ‘Abdurrazaq [2990])

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a, ia berkata, “Rasulullah  bersabda, ‘Aku diperintahkan sujud dengan tujuh anggota tubuh dan aku tidak menggulung pakaian serta rambut (dalam solat)’.”(Hadis riwayat Muslim [490], [228])

  1. Tidak boleh menggulung pakaian dan rambut ketika solat. Imam an-Nawawi rahimahullah berkata dalam Syarah Sahih Muslim (IV/209), “Para ulama sepakat melarang solat dengan pakaian dan lengan baju tergulung atau dengan rambut terikat atau disembunyikan di bawah serban atau sejenisnya. Semua itu dilarang berdasarkan kesepakatan ulama.”
  2. Sebahagian ulama membawakan larangan tersebut khusus bagi yang melakukannya di dalam solat. Namun pendapat ini perlu diperbetulkan. Imam an-Nawawi berkata, “Kemudian jumhur ulama berpendapat bahawa larangan ini berlaku mutlak bagi yang solat dalam keadaan demikian, baik ia sengaja menggulungnya untuk solat atau sebelumnya memang sudah tergulung untuk tujuan lain.”
  3. Sebahagian ulama membawakan larangan tersebut kepada hukum makruh, namun zahirnya adalah haram dan tidak ada dalil yang memalingkannya dari hukum haram.

Imam Ibnu Khuzaimah telah menulis bab dalam Sahihnya berdasarkan hadis di atas, “Bab Larangan Menggulung Pakaian Dalam Solat.”

Bagaimana pula dengan lelaki yang melepaskan rambut panjangnya ke dalam jaket (baju) dengan tujuan tidak berjuraian di atas lantai ketika solat? Adakah hukumnya sama seperti disembunyikan di bawah serban?

A: Tetap perlu melepaskan rambut keluar jaket supaya rambut dapat berjuraian ke lantai.

Bagaimanakah kedudukannya solat lelaki yang berambut panjang melepasi bahu hingga ke pinggang?

A: Solat tetap sah. Haram berpenampilan menyerupai wanita.

Sumber: Majalah QA/ Ustaz Mohd Kazim Elias Al-Hafiz, Pengetua Pusat Pendidikan, Al-Barakah, Kg. Manjoi, Ipoh

Related Posts

Leave a Comment