fbpx

Mantapkah Ilmu Dan Akhlak Untuk Dakwah?

by noraina
0 comment 3 views

5 kaedah antara cara untuk menarik perhatian masyarakat terhadap dakwah. Matlamat dakwah adalah membawa seluruh manusia untuk tunduk dan beribadah kepada Allah SWT agar terjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Pelbagai bentuk medium atau cara boleh diaplikasikan untuk menyampaikan dakwah seiring dengan perubahan zaman.

Untuk mengetahui secara lebih lanjut tentang matlamat dakwah, soalan pertama yang harus dipecahkan adalah, apa­kah tujuan manusia dicipta atau dilahirkan ke dunia ini.

Firman Allah SWT: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmah pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. Dan sesiapa yang menyembah Tuhan yang lain bersama-sama Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.” (Al-Mukminun 23: 115-117)

Q Bagaimana hendak mula berdakwah?

A Untuk berdakwah, kita perlu ada ilmu. Dengan adanya ilmu, pendakwah dapat menjemput

     semua manusia terhadap perkara di bawah ini, iaitu:

1. Memahami konsep ketuhanan seperti disebutkan dalam al-Quran.

2. Memahami konsep kerasulan, khususnya kerasulan Rasullullah SAW melalui penjelasan  

    daripada sudut agama.

3. Mengamalkan agama dan meninggalkan segala larangan Allah, seterusnya mencari

    keredhaan Allah di dunia dan di akhirat berasaskan keterangan dan bukti yang nyata

    sebagaimana tuntutan dalam al-Quran.

4. Menghindari kesyirikan terhadap Allah SWT sama ada iktikad mahupun amalan,

    sebagaimana firman Allah SWT:

    “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Inilah jalanku, aku dan orang-orang

     yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan

    keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (daripada

    segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku daripada golongan yang

    mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain’.” (Yusuf 12: 108)

Q Selain melengkapkan diri dengan ilmu, apa perkara lain yang perlu dimiliki oleh seorang da‘i (pendakwah)?

A Seorang da‘i juga perlu melengkapkan diri dengan akhlak seperti berikut:

1. Ikhlas melakukan dakwah tanpa sebarang kepentingan peribadi.

2. Sabar

a) Sabar atas perintah dan ketaatan sehingga dapat mengamalkannya.

b) Sabar atas tegahan dan larangan sehingga dapat meninggalkannya.

c) Sabar atas qadak dan qadar sehingga redha dengan-Nya atas apa juga yang

    berlaku.

3. Tawaduk kepadasesama manusia.

4. Zuhud terhadap dunia dan menunjukkan contoh terbaik berhadapan dengan urusan

    dunia.

5. Jujur dan amanah dalam urusan dakwah yang dilaksanakan.

Q Bagaimana uslub atau cara menyampaikan dakwah ?

A Di antara cara atau kaedah untuk menarik perhatian masyarakat kepada ajaran Islam adalah:

1. Mempermudah dan menyatakan kelonggaran yang diberikan syarak

    Masyarakat bukan Islam diberi pilihan dengan tidak ada paksaan untuk menerima  

    Islam. Mereka boleh menilai dengan melihat kepada keperluan fitrah semulajadi

    yang ada dalam diri mereka. Islam sentiasa membenarkan pendakwah

    mempermudahkan dan memberikan kelonggaran dalam beberapa hal kepada bukan

    Islam dan saudara baharu.

2. Dakwah bil hal atau dakwah dengan perbuatan

    Setiap perilaku dan amalan harian para pendakwah dan umat Islam hendaklah

    mencerminkan kesucian Islam yang menjamin kesejahteraan dan ketenteraman

    sejagat. Setiap tindakan akan dilihat oleh masyarakat bukan Islam untuk dinilai

    sebelum menerima Islam. Tingkah laku mestilah berasaskan nilai tauhid, mengikut

    syariat Islam serta menggambarkan kesempurnaan Islam.

3. Dakwah melalui pendidikan

    Pendidikan Islam sendiri merupakan proses mendidik akal, jasmani, dan rohani

    manusia berasaskan nilai-nilai fitrah insaniah. Proses pendidikan Islam ini akan

    membina akhlak dan membawa kepada kehidupan yang sempurna. Dakwah secara

    ini perlu merujuk kepada cara dakwah Rasulullah SAW di peringkat awal Islam yang

    lebih memberi penekanan kepada psikologi, rohani dan perasaan.

4. Dakwah melalui ziarah

    Ziarah merupakan satu usaha mendampingkan diri dengan bukan Muslim terutama

    pada waktu-waktu yang diperlukan seperti apabila mereka sakit, bermasalah,

    mahukan pertolongan dan seumpamanya. Ziarah boleh melapangkan dada mereka

    dan menenangkan mereka.

5. Dakwah melalui pergaulan dan lain-lain

    Islam menggesa umatnya, khususnya para pendakwah, supaya mewujudkan suasana

    pergaulan yang baik dan menunjukkan jalan yang lurus kepada masyarakat termasuk

    yang bukan Islam. Para pendakwah harus mengenali latar belakang masyarakat yang

    hendak diseru itu supaya dapat memesrakan pergaulan dan melancarkan proses

    berurusan dengan mereka.

Oleh itu, pelbagai cara dakwah boleh dilakukan melalui berbagai-bagai bidang seperti melalui ekonomi, media massa dan lain-lain, asalkan ia membawa manusia memahami dengan jelas ajaran Islam sebagai agama yang murni penyelamat manusia sejagat.

Sumber: Majalah Q&A / Ustaz Dr. Shamsul Mohd Nor (Perunding Motivasi & Pendakwah)

Related Posts

Leave a Comment