fbpx

Penghuni Kubur Berebut Hadiah

by noraina
0 comment 7 views

Diceritakan, seorang lelaki telah bermimpi bertemu dengan sekumpulan penghuni kubur. Mereka sedang berebutkan sesuatu. Terpinggir daripada kumpulan ramai itu, seorang tua yang hanya memerhati sahaja. Dia tidak ikut berebut bersama yang lain.

Lelaki yang  bermimpi itu pun bertanya orang tua tersebut,“Apa yang sedang mereka rebutkan?”

“Mereka sedang berebut pahala yang dihadiahkan kepada mereka oleh orang yang masih hidup,” jawab orang tua itu.

“Mengapa kamu tidak berebut-rebut bersama mereka?”

Kata orang tua itu, dia tidak perlu berebut bersama yang lain kerana dia sentiasa menerima kiriman hadiah pahala daripada anaknya. Anaknya bekerja di pasar. Setiap hari anaknya membaca al-Quran, dan pahala bacaan itu dihadiahkan kepadanya. Maka dia tidak pernah terputus menerima hadiah pahala.

Bertemu anak si mati

Pada keesokannya, lelaki yang bermimpi itu pergi ke pasar. Dia mencari anak orang tua yang ditemui dalam mimpinya. Setelah bertanya kepada beberapa orang di pasar, akhirnya dia bertemu dengan seorang pemuda yang sedang berniaga. Agak lama diperhatikan pemuda itu, mulutnya sentiasa terkumat-kumit seperti membaca sesuatu.

Jika ada pelanggan datang, dia melayan pelanggan dengan mesra. Apabila pelanggan beredar, mulutnya kembali bergerak-gerak. Tidak mahu terus berteka-teki, pemuda itu pun didekati. “Sejak tadi saya tengok mulut kamu terkumat-kumit seperti membaca sesuatu. Apa yang sedang kamu baca?”

Pemuda itu tersenyum. “Sebenarnya saya membaca al-Quran. Pahala bacaan ini saya hadiahkan kepada arwah ayah saya yang sudah lama meninggal dunia.”

Lelaki itu berkata, “Wahai pemuda, Allah SWT telah menerima amalanmu ini dan menyampaikan pahalanya kepada ayah kamu.”

“Bagaimana tuan tahu hal ini?” tanya si pemuda, kehairanan. Lelaki itu pun bercerita tentang mimpi yang dialaminya.

Hadiah pahala terputus

Beberapa waktu berlalu, mimpi yang sama berulang lagi. Cuma kali ini agak berbeza sedikit kerana orang tua yang suatu ketika dahulu duduk memerhati sahaja  ‘rakan-‘rakannya’ berebut pahala, turut sama berebut-rebut. Rupa-rupanya, dia tidak lagi mendapat hadiah pahala daripada anaknya.

Anaknya yang tidak pernah lupa mengirim pahala bacaan al-Quran kepadanya sudah meninggal dunia. Sebab itulah orang tua itu terpaksa berebut kiriman pahala bersama para penghuni kubur yang lain. Lelaki yang bermimpi itu pergi semula ke pasar. Dia mencari-cari pemuda yang pernah ditemuinya dahulu. Para peniaga di pasar memberitahu bahawa pemuda itu tidak berniaga lagi di pasar itu. Dia sudah mengikut jejak ayahnya, kembali menghadap Allah SWT.

Moral:

  1. Hadiah pahala sampai kepada si mati.
  2. Jangan malas membaca al-Quran.
  3. Jangan ‘kedekut’ pahala; berkongsilah dengan orang lain.
  4. Penuhi masa lapang dengan zikrullah atau membaca al-Quran.
  5. Penghuni kubur sentiasa (bukan sekali-sekala) mengharapkan kiriman pahala daripada waris-waris yang masih hidup.
  6. Terputus kiriman pahala, ‘terseksalah’ keadaan si mati di alam barzakh.

[Rujukan: Keajaiban Firasat –  63 Kisah Pengubat Jiwa; Muhadhir Haji Joll]

Sumber: Majalah Q&A/  Nur Syafiqah Muhammad Wafiy

Related Posts

Leave a Comment