fbpx

Perbezaan Antara Jin, Syaitan dan Iblis?

by noraina
0 comment 6 views

Amat perlu mempelajari mengenai hal ehwal jin walaupun dalam keterbatasan maklumat kerana ia termasuk dalam perkara ghaib.

Seseorang Muslim perlu memahami perbezaan antara jin, syaitan dan iblis. Allah menegaskan di dalam Al-Quran bahawa musuh manusia yang paling utama adalah syaitan. Apabila Allah SWT mengisytiharkan bahawa syaitan adalah sejahat-jahat musuh yang perlu diperangi oleh manusia, akal yang waras tidak boleh menerima bahawa kita tidak perlu kenal bagaimana musuh kita ini.

Dalam mana-mana peperangan, pihak musuh mestilah mengkaji kekuatan dan kelemahan lawannya. Apabila Amerika mahu menyerang Iraq, pihak Amerika telah mengkaji keseluruhan kekuatan dan kelemahan Iraq. Pihak Iraq sepatutnya juga berbuat demikian. Sesiapa yang tidak mengetahui kekuatan dan kelemahan lawannya, lalu masuk berperang sudah tentu kalah dalam pusingan pertama.

Q Bersedia masuk gelanggang jin?

A Jika saya tanya anda, anda kenalkah siapa syaitan, iblis dan jin? Apakah jawapan anda. Jika anda tahu membezakan, tahu mencirikan, Islamkah mereka, bagaimana mereka masuk ke tubuh manusia, apa ciri-ciri yang anda telah dicerobohi, di mana markasnya, waktu serangannya, bagaimana nak membina perisai kebal daripada  serangannya dan sebagainya.

Jika anda berjaya menjawab soalan-soalan di atas bererti anda telah bersiap-siaga berdepan untuk bertempur dengan mereka sesuai dengan arahan Allah. Tetapi jika anda gagal menjawab, saya simpulkan bahawa anda akan kalah dalam pertarungan sebelum masuk ke gelanggang lagi.

Mempelajari ilmu mengenai jin kenalah berguru, tidak cukup melalui pembacaan jauh sekali secara bertapa!

Q Penyakit fizikal berpunca daripada jin?

A Jin menggunakan kelebihan yang ada padanya iaitu tidak dapat dilihat oleh manusia sebagai senjata untuk mengganggu manusia. Ada yang berada di luar tubuh mengganggu manusia dari luar seperti menjadikan manusia itu hodoh pada pandangan orang disekitarnya, menyucuk ekornya di bahu, kepala dan sebagainya. Ada yang bertenggek beramai-ramai di bahu manusia sehingga manusia ini terasa seperti memikul sesuatu yang amat berat. Tidak kurang juga yang menindih dan mencekik manusia.

Ada jin yang masuk ke dalam tubuh, bergerak melalui aliran darah dan akhirnya menyekat aliran darah ini daripada melalui organ-organ tertentu. Jika ia berada di bahagian kepala, manusia akan merasa pening kerana kekurangan oksigen di bahagian berkenaan.

Menurut pengamatan saya,  hampir 80 peratus penyakit fizikal adalah bermula daripada gerak-kerja jin yang berada di dalam dan di luar tubuh manusia. Kajian saya terhadap penyakit lelah, kudis buta, darah tinggi, kencing manis, barah malah H1N1 ada kaitannya dengan serangan jin.

Dengan kata lain, seseorang yang ada pengetahuan tentang alam jin maka ia dapat mengawal dan merawat dirinya daripada terlalu mudah untuk diserang atau terkena penyakit.

Menurut Ibnu Taimiyah sepertimana yang dicatatkan oleh anak muridnya Ibnu Qayyim Al-Jawziyyah bahawa jika ada 10 orang, 6 orang daripadanya ada mengalami gangguan jin. Itu di zaman kegemilangan Islam. Bagaimana sekarang, di saat kemungkaran yang berada di hujung jari sahaja, hiburan yang melampau-melampau, surau yang semakin kosong, pengajian agama dilihat tiada masa depan; apakah angka ini mungkin berkurangan?

Q Bolehkah berlakon jadi bomoh?

A Jin dipuja dalam cerita-cerita seram dan tahyul. Kita seperti membangkitkan musuh kita yang sedang tidur. Mereka bangga apabila melihat cerita-cerita mereka menjadi sebutan “box-office”.

Saya ingin mengingatkan pelakon yang terlibat khususnya yang bertindak sebagai bomoh yang membaca mantera dan membuat upacara memanggil jin dengan pembakaran kemenyan, anda sebenarnya telah diserang oleh makhluk ini. Ini kerana jin tidak faham erti lakonan, anda baca sahaja apa-apa mantera, anda lakonkan perbomohan, jin sudah menjadi tuan anda!

Q Apa itu  jin saka?

A Saya berpandangan hampir 80 peratus orang Melayu bersaka! Kenyataan ini tentunya tidak digemari tetapi itulah yang berlaku. Bagaimana anda boleh mengesan kehadiran jin saka pada diri anda dan yang lebih penting bagaimana mahu berdepan dengan mereka?

Jin saka memberi impak yang besar dalam kehidupan seseorang. Perangai, kegemaran, gaya hidup, penyakit yang dihidapi dan lain-lain lagi banyak dipengaruhi oleh jin ini. Malang sekali bagi seorang abid jika ia berkeadaan demikian kerana ada jin Islam yang rajin beribadah dalam tubuhnya. Lebih malang apabila seseorang melakukan maksiat tetapi itu bukan lahir daripada dirinya melainkan datang daripada jin-jin saka yang jahat yang ada dalam diri seseorang itu. Begitu juga seorang yang cerdik, pemalas, dungu dan pelbagai lagi sifat jahat, ia  sebenarnya bukan lahir daripada jati diri sendiri tapi dipengaruhi oleh jin-jin saka.

Jin saka juga memberi kesan kesihatan apabila seseorang itu sudah mula memasuki usia emas. Ciri-ciri penyakit yang dihidapi adalah sama dengan yang dialami oleh orang tuanya, bapa dan emak saudaranya yang ada ada pertalian keluarga. Mungkin kerana itulah istilah genetik tercetus (gene →  jin).

Kesimpulannya, mempelajari ilmu berkaitan dengan alam jin merupakan suatu keperluan sebagai persiapan minda, meletakan diri pada posisi selamat daripada hasutan dan gangguannya, memastikan jati diri anda, bersifat tolerans kepada jin dalam perkongsian alam dan sebagainya. Jika anda mempelajari alam jin sehingga anda menjadi seorang perawat, anda bukan sahaja merawat mereka yang diganggu tetapi anda boleh meluaskan lingkungan dakwah anda kepada mereka.

Sumber: Majalah Q&A/ Ust. Abdul Majid  Hasan: Perawat Akademi Rawatan Islam Nur Ehsan (AKRINE)

Related Posts

Leave a Comment