fbpx

Puasa Enam – ‘Sunat Ba’diyah’ Ramadan

by noraina
0 comment 17 views

Buatlah qadha puasa pada bulan Syawal kerana sehari berpuasa boleh dapat pahala untuk ‘dua jenis’ puasa.

Q Apakah yang dikatakan Puasa Enam dan apakah hukumnya?

A Puasa Enam bermaksud berpuasa sebanyak enam hari pada mana-mana hari pada bulan Syawal. Ia termasuk dalam kategori puasa tathawwu’ (puasa sunat). Kebanyakan Ahli al-Ilmi mengatakan sunat berpuasa enam hari pada bulan Syawal, termasuklah Ibn Abbas, Thowus, Sya’bi, Maimun bin Mahran, Ibn Mubarak, Imam Syafi’i, Imam Ahmad, Ishaq dan lain-lain. [Lihat Lathoif al-Ma’arif fi ma li Mawasim al-‘Am min al-Wazha’if, ms. 209]

Puasa ini seolah-olah seperti ucapan selamat jalan (taudi’an) kepada bulan Ramadan dan ia boleh menampal (jabran) kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa fardu tersebut. [Rujuk An-Nashaih ad-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah, Al-Imam Al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad, tahzib wa taqdim, Al-Faqih Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Bogor: Al-Ma’had al-Ali li At-Tafaqquh fi ad-Din, Cetakan Kedua, 1418H/ 1997M, ms. 179]

Q Apakah fadhilat atau kelebihan Puasa Enam?

A Hadis daripada Abu Ayyub al-Anshari berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: ‘Sesiapa berpuasa Ramadan kemudian mengikutinya dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka baginya pahala seumpama mengerjakan puasa sepanjang tahun.” (Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Ash-Shiyam, Abu Daud dalam kitab Ash-Shiyam, At-Tirmizi dalam kitab Ash-Shawm, Ibn Majah dalam kitab Ash-Shiyam)

Imam Nawawi mengatakan: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafi‘i, Imam Ahmad dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).[Rujuk Syarah Shahih Muslim, Imam Nawawi, Beirut: Dar al-Qalam, 1987, 8/56]

Dalam hadis lain daripada Ibn Umar berkata: “Rasululullah SAW bersabda, mafhumnya: ‘Sesiapa berpuasa Ramadan dan mengikutinya dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, keluarlah dosa-dosanya (sehingga dia menjadi bersih daripada dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.” (Diriwayatkan oleh Ath-Thobrani di dalam Al-Ausath)

Hadis daripada Thauban, daripada Rasulullah SAW, sesungguhnya Baginda SAW  bersabda, mafhumnya: “Sesiapa berpuasa enam hari selepas Eidul Fitri (Hari Raya Puasa), adalah (seolah-olah mencukupkan puasa) sepenuh tahun. Sesiapa yang melakukan satu kebajikan, maka baginya (digandakan) sepuluh kebajikan sepertinya.” (Riwayat Ibn Majah)

Q Kenapakah dalam hadis-hadis dinyatakan berpuasa enam hari pada bulan Syawal selepas berpuasa wajib pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa sepanjang tahun?

A Bilangan hari dalam setahun hijriyyah ialah 360 hari. Oleh itu, puasa sebulan pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa 10 bulan (atau 300 hari kerana 30 hari x 10), dan puasa 6 hari Syawal seolah-olah berpuasa 2 bulan (atau 60 hari kerana 6 hari x 10) yang menjadikan jumlahnya setahun (atau 360 hari dan setahun mengandungi 360 hari).

Q Bilakah waktu mengerjakan Puasa Enam? Bolehkah melakukannya dengan tidak berturut-turut (secara berselang-selang)?

A Imam Nawawi berkata dalam Syarh al-Muhazzab: “Telah berkata Ashab kita (iaitu ulama Syafi’iyyah): Dan disunatkan puasa enam Syawal itu berturut-turut pada awal Syawal (iaitu selepas 1 Syawal) dan jika dicerai-ceraikan dia (iaitu puasa itu) atau dita’khirkan (dilewatkan) dia daripada awal Syawal nescaya harus (boleh).” [Lihat Bahr al-Mazi, 5/127. Lihat juga Ash-Shirath al-Mustaqim, Syaikh Nuruddin ar-Raniri (kitab ini berada di tepi kitab Sabil al-Muhtadin), ms 138]

Dalam Syarh Muslim, Imam Nawawi berkata: “Telah berkata Ashab kita: Bermula yang afdhal bahawa puasa ia enam hari berturut-turut mengiringi hari fitrah (iaitu bermula dari 2 Syawal).” (Rujuk Al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Syaikh Muhammad Asy-Syarbini al-Khatib, Fathani: Matba’ah Ibn Halabi, t.t, 1/245, Bahr al-Mazi, 5/127, Mathla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain, Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Pulau Pinang: Percetakan al-Muarif, t.t, ms. 65)

Kesimpulan daripadanya pernyataan Imam Nawawi ini:

  • Sunat berpuasa enam hari secara berturut-turut, bermula dari 2 Syawal.
  • Harus (boleh) jika tidak berturut-berturut, iaitu secara berselang-seli.

Q Bolehkah disatukan (disekalikan) puasa enam hari bulan Syawal dengan puasa Qadha?

A

  • Bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan kerana uzur yang dibolehkan syarak, dia boleh mengqadhakannya sekali gus dengan puasa enam pada bulan Syawal. Dia hendaklah berniat puasa qadha dan puasa sunat tersebut sekali gus, dengan niat mendapatkan ganjaran kedua-dua sekali.
  • Jika dia berniat puasa sunat enam hari Syawal sahaja atau puasa qadha Ramadan sahaja (maksudnya tidak disekalikan), maka dia hanya akan mendapat ganjaran bagi puasa yang diniatkannya itu.

[Lihat Nihayah al-Muhtaj, Syaikh Ramli, Egypt: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1993, 3/208–209, Al-Fatwa al-Kubra, Ibn Hajar al-Haitami, 2/75, Sabil al-Muhtadin li at-Tafaqquh bi Amr ad-Din, Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad an-Nahdi wa Auladih, t.t, 2/160–161, Bughyah Ath-Thullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi ash-Showab, Syaikh Daud al-Faththoni, Dar al-Fikr, 2/128, Al-Bahr al-Wafi wa an-Nahr ash-Shafi, Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, kompilasi oleh Syaikhuna Al-Marhum, Tuan Guru Haji Wan Muhammad Saghir bin Abdullah ar-Riawi al-Fathani, Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyyah, Cetakan Kedua, 2005, ms. 376. Lihat juga Jabatan Mufti Brunei, Pejabat Perdana Menteri, Brunei Darussalam: http://www.brunet.bn/gov/mufti/index.htm]

Q Apakah syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, makruh dan sunat dilakukan semasa puasa 6 hari di bulan Syawal ini sama ada digabungkan dengan puasa qadha Ramadan atau tidak?

A Semuanya sama sahaja seperti puasa wajib pada bulan Ramadan.

Sumber:  Majalah Q&A/ Ustaz Muhadir Hj Joll

Related Posts

Leave a Comment