fbpx

Suara Taubat Seorang Hamba

by noraina
0 comment 28 views

Pada waktu nazak menghadapi kematian, bibirnya terucap suatu munajat yang begitu indah sekali. Usai melafazkan munajat tersebut, kematian pun datang menjemputnya.

Di sebalik diri seorang  pendosa

Ada yang rindu mendengar suaranya

Suara taubat  seorang hamba …

Disebutkan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW:

“Sungguh bahawa kegembiraan Allah kerana taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan seseorang daripada kalian terhadap haiwan tunggangannya di mana dia berada di sebuah padang pasir yang luas, lalu haiwan tersebut terlepas, sedangkan di atasnya ada makanan dan minuman sehingga akhirnya dia merasa putus asa untuk menemukannya kembali. Kemudian dia datang ke satu pokok lalu berehat di bawah teduhan pohon tersebut dalam keadaan putus asa terhadap tunggangannya yang hilang itu. Pada  saat  itu tiba-tiba dia mendapatkan untanya sudah berdiri di sampingnya. Dia pun segera mengambil tali kekangnya kemudian berkata, ‘Ya Allah! Engkau hambaku dan aku ini tuhan-Mu.’ Dia telah salah berdoa kerana terlalu gembira.”  (Riwayat Muslim)

Wahab bin Munabbih menaqalkan sebuah kisah yang berlaku zaman Nabi Musa ‘alaihissalam, terdapat seorang lelaki daripada kaum Bani Israel yang sering melakukan maksiat sehingga dipulaukan serta dihalau oleh penduduk negerinya tanpa pengetahuan Nabi Musa ‘alaihissalam. Lelaki itu pun pergi jauh dari negerinya dan asing daripada manusia. Dalam keadaan tanpa makanan dan minuman, akhirnya dia jatuh sakit. Pada waktu nazak menghadapi kematian, bibirnya terucap suatu munajat yang begitu indah sekali, merayu:

 “Wahai Tuhanku … Daku adalah seorang hamba dalam kalangan para hamba-Mu, yang terasing di negeri-Mu. Sesungguhnya, jika daku ketahui betapa dengan mengazabku boleh menambah pada kerajaan-Mu, dan andai kuketahui betapa keampunan-Mu terhadapku boleh mengurangkan daripada kerajaan-Mu, nescaya tidak tergamak untuk aku meminta keampunan-Mu daripada-Mu. Namun tetap sahaja tiada bagiku tempat bergantung dan berharap melainkan-Mu. Aku pernah mendengar bahawa Engkau pernah berfirman, ‘Sesungguhnya Aku adalah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’. Justeru itu, janganlah Engkau sia-siakan pengharapanku.”

Usai melafazkan munajat tersebut, kematian pun datang menjemputnya. Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Musa ‘alaihissalam, “Wahai Musa, seorang daripada kalangan wali-Ku (lelaki tersebut) telah wafat. Datangilah dan mandikanlah jenazahnya. Katakanlah kepada kaummu bahawa sesiapa yang ada melakukan maksiat dan datang mensolatkan lelaki itu, maka Aku akan ampunkan dosa mereka dan akan-Ku perkenankan hajat mereka.” Lalu Nabi Musa ‘alaihissalam menyeru kaumnya pergi ke tempat jenazah lelaki tersebut. Setibanya mereka ke tempat itu, terkejut mereka mendapati dia adalah lelaki yang mereka halau kerana kekerapan maksiat yang dilakukannya. Takjub Nabi Musa ‘alaihissalam dengan berita tersebut, lalu Allah mewahyukan kepada Nabi Musa ‘alaihissalam kisah munajat lelaki tersebut di penghujung akhir hidupnya. Allahu Allah …

Ya Allah! Jika hari ini kami mendakwa tidak melakukan dosa terhadap-Mu, sesungguhnya tetap sahaja perlu bagi kami memohon maghfirah-Mu atas dosa lalai kami mensyukuri akan segala  nikmat-Mu. Maka ya Allah! Ampunilah kami pada setiap hela nafas dan kerdipan mata kami yang gagal  kami syukuri. Amin.

Rujukan :  Kitab At-Tawwabin  oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi

Sumber: Majalah Q&A/ Ustaz Anwar Mohamad

Related Posts

Leave a Comment